MENJANA MINDA GURU YANG KREATIF & INOVATIF

Anjung Ilmuan

Ruangan ini disediakan untuk para pelajar berkongsi idea, pendapat dan maklum balas berpandukan soalan-soalan ransangan yang disediakan. Setiap pelajar dikehendaki terlibat secara aktif dalam forum yang disediakan. Markah tambahan akan diperuntukkan kepada para pelajar yang terlibat secara aktif dan menyumbang idea dan maklumat yang bernas untuk rakan-rakan pelajar. Selamat berdiskusi.

Isu 1: Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh seorang pendidik bagi mencontohi Rasulullah dan para sahabat dalam aspek cara mendidik.

Date 22/10/2013
By izzul faizuan
Subject sifat asasi guru

Pendidikan ialah bahagian atau juzu’ penting dalam sesebuah ketamadunan manusia. Maka tidak hairanlah jika bidang pendidikan dikatakan sebagai asas kepada ketamadunan manusia. Usaha pendidikan dalam sejarah kemanusiaan ini telah bermula sejak mula terciptanya nabi Adam a.s. lagi dan telah dirakamkan di dalam Al-quran surah Al-baqarah ayat 31 yang bermaksud:
“dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan Segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan Yang benar."
Dalam karangan Abdullah Nashih Ulwan (1989) Tarbiyatul Aulad Fil Islam, menyatakan dalam karangannya beberapa tanggungjawab besar bagi para pendidik. Antaranya tanggungjawab pendidikan Iman, pendidikan akhlak(moral), pendidikan fizikal, pendidikan intelektual, pendidikan psikologi dan pendidikan sosial. Beliau telah menyentuh segenap aspek pendidikan yang perlu diseimbangkan oleh guru. Peranan guru pula ialah dalam memastikan tanggungjawab ini dilaksanakan untuk mendidik pelajar menjadi modal insan yang seimbang.
Seorang guru pendidikan islam tidak boleh tidak, perlu menerapkan elemen pendidikan yang dinyatakan oleh Abdullah Nashih Ulwan. Ia perlu untuk memastikan usaha pendidikan ini mencakupi segenap aspek kehidupan. Agama islam itu sendiri adalah sebuah cara hidup dan seharusnya itulah yang kita terapkan kepada anak didik, bukanlah gaya hidup dan fahaman sekular yang merosak dan meracun fikiran generasi muda.
Dalam karangan Abdullah Nashih Ulwan juga ada mencadangkan sifat-sifat asasi yang mesti ada pada seorang pendidik agar kesan pendidikannya pada anak-anak lebih mendalam dan penerimaan mereka kepada pengajaran dan petunjuknya akan lebih kuat. Secara ringkasnya, antara sifat yang perlu dimiliki oleh pendidik ialah Ikhlas. Niat merupakan perkara asas bagi setiap pekerjaan. Perkara inilah yang selalu ditekankan oleh para alim ulama. Para ulama menyebut “seorang pendidik wajib membersihkan niatnya dan bersifat ikhlas terhadap Allah dalam segala amal pendidik yang dilakukannya, sama ada amalan itu merupakan perintah, larangan, nasihat, perhatian atau hukuman.” Ia bertepatan dengan sabda rasulullah s.a.w. berkaitan hadis pertama dalam kitab hadis 40 Imam An-Nawawi: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat,...”
Sifat asasi yang kedua ialah bertakwa. Mereka yang berilmu adalah orang yang takut kepada Allah. Justeru sebagai pendidik, sifat takwa adalah suatu yang wajib ada pada diri pendidik kerana pendidik ialah orang yang berilmu dan orang yang berilmu itu adalah orang yang bertakwa. Ketakwaan ini jugalah yang perlu seorang guru pendidikan islam terapkan dalam diri pelajar-pelajar mereka. Betapa pentingnya sifat taqwa itu sebenarnya digambarkan dalam firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 102 bermaksud : “Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah Dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan Dalam keadaan Islam.”
Saterusnya ialah sifat asasi yang ketiga iaitu seorang guru mestilah berilmu pengetahuan. Keilmuan guru adalah antara aspek penting bagi diri seorang guru pendidikan islam.tanpa ilmu yang cukup, bagaimanakah seorang guru hendak menjalankan tugasnya dalam menyampaikan ilmu. Tambahan pula seorang guru itu sering menjadi tempat rujukan bagi masyarakat setempat, maka golongan guru perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang luas merentasi pelbagai bidang. Seorang guru pendidikan islam mestilah orang yang alim dan benar-benar mengetahui dasar-dasar pendidikan yang ditunjukkan oleh syariat islam. Guru pendidikan islam juga hendaklah cukup faham tentang prinsip-prinsip akhlak dan segala peraturan islam serta kaedah-kaedah syariatnya secara umum. Barulah seorang guru pendidikan islam itu dikatakan benar-benar mantap.

Date 21/10/2013
By Farhatul Safri
Subject Rasulullah & Sahabat Tauladan Ummah

Bismillah.

Merujuk kepada soalan, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh seorang pendidik bagi mencontohi Rasulullah dan para sahabat dalam aspek cara mendidik. Sebelum saya huraikan isi-isi saya dengan lebih panjang, suka saya mengajak sahabat-sahabat untuk sama-sama merenungi firman Allah di dalam surah al-Ahzaab ayat 21 yang bermaksud; Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). Melalui maksud ayat ini, sudah terbukti bahawa Rasulullah merupakan contoh ikutan terbaik bagi kita umat Islam amnya dan khususnya buat guru-guru Pendidikan Islam. Maka, kita sebagai guru-guru Pendidikan Islam sudah semestinya menjadikan Rasulullah dan sahabat baginda sebagai contoh utama dalam pembentukan peribadi dan akhlak diri kita.

Tidak dinafikan lagi bahawa bukan mudah sebenarnya untuk mendapatkan keperibadian yang mulia seperti Rasulullah dan para sahabat. Acapkali kedengaran suara-suara sumbang mengatakan, "Tak apalah, kita bukannya Nabi. Baginda tu maksum terpelihara dari dosa. Kita ni hamba/insan biasa." Kata-kata sebegini seharusnya disangkal sebulat suara memandangkan hal ini ada kaitannya dengan aqidah diri. Bukankah kita diwajibkan beriman dengan Rasul? Sesungguhnya adalah lebih molek bagi kita menanam norma-norma yang baik di dalam diri dengan berusaha untuk mengikuti dan mencontohi Rasulullah dan para sahabat dalam urusan kehidupan seharian.

Kala dewasa ini, banyak mehnah mahu pun kekangan-kekangan yang terpaksa dihadapi oleh guru-guru terutamanya dalam mendidik anak-anak murid. Para pendidik juga terpaksa "menelan" pelbagai kerenah mahu pun perangai pelik murid-murid. Maka, guru-guru semestinya berusaha untuk membasmi dan mengatasi masalah-masalah berikut dengan efisien dan menggunakan berbagai-bagai inisiatif tersendiri. Berdasarkan Perutusan Al-Ustaz Muhammad Mahdi Akif dari "wordpress" Majlis Syura Muslimun Cork (https://msmcork.wordpress.com/2009/03/15/rasulullah-saw-sebaik-baik-suri-teladan/) ada mengatakan bahawa meneladani Rasulullah dapat dilihat dari banyak perspektif.

1. Ibadah: Bahwa beliau adalah orang yang paling tahu dan mengenal Allah, orang yang paling takut dan bertaqwa, namun beliau orang yang kadang-kadang berpuasa dan kadang-kadang berbuka, tidur dan bangun serta menggauli wanita (isteri) dengan baik, namun tidak mempengaruhi keadaan beliau sebagai orang yang paling banyak beribadah.

*Dari sini jelas kita dapat lihat bahawa sebelum kita hendak mendidik orang lain, kita hendaklah terlebih dahulu mendidik diri sendiri selaras dengan syariat dan tuntutan Islam. Bukankah kepimpinan itu adalah menerusi tauladan?

2. Berinteraksi dengan tetangga: Nabi saw bersabda:

“Jibril selalu mewasiatkan kepada saya tentang tetangga sampai aku menyangka bahwa tetangga mendapat hak warisan”. (Muttafaq alaih)

*Kita hendaklah sentiasa berusaha mengambil tahu dan mengambil berat akan perihal anak-anak murid kita.

3. Berinteraksi dengan sesama manusia: Beliau kadang-kadang menjual dan membeli, sangat sopan jika menjual dan sangat ramah jika membeli, ramah ketika memutuskan hukum dan ramah pula saat menuntut hukuman.

*Kita hendaklah sentiasa berbuat baik sesama insan di samping mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

4. Akhlaq dan perilaku secara umum: Nabi saw adalah sebaik-baik manusia dalam berakhlaq dan beretika, orang yang paling mulia dan paling bertaqwa dalam berinteraksi. Allah berfirman sambil memuji nabi saw:

“Sungguh dalam dirimu terdapat akhlaq yang mulia”. (QS Al-Qalam:4)

Dan Aisyah pernah berkata ketika ditanya kepadanya tentang akhlaq nabi saw, beliau berkata:

“Akhlaq nabi adalah Al-Qur’an”. (HR Muslim)

5. Damai dan Perang serta selalu menghormati dan memenuhi janji: “Rasulullah saw masuk ke kota Madinah dengan mengangkat bendera perdamaian.

Ketika masuk kota Madinah beliau berkata:

“Wahai sekelian manusia, tebarkanlah salam, berilah makan, solat malamlah ketika orang lain tidur lelap niscaya masuk surga dengan selamat”. (HR Tirmidzi dari Abdullah bin Salam)

Dan ketika memasuki kota Makkah setelah berhasil menaklukkannya, beliau berkata kepada orang yang memusuhi dan memeranginya:

“Pergilah kamu, hari ini kamu bebas”.

*Kita hendaklah sentiasa menunaikan janji dan amanah dalam melaksanakan tugas seharian.

Memetik kata-kata Saidina Umar al-Khattab pula iaitu didiklah anakmu seiring dengan peredaran masa atau waktu. Pada zaman ledakan maklumat ini, banyak pembaharuan dan inovasi berlaku dari semasa ke semasa. Oleh itu, golongan guru hendaklah sentiasa memperkemas ilmu pada diri dengan segala ilmu dan kemahiran yang baru seiring peredaran zaman. Hal ini merupakan salah satu daripada kriteria sesuatu profesion. Sejujurnya, terlampau banyak alat atau benda-benda canggih yang semakin banyak tercipta sehingga membuatkan saya sendiri tak dapat nak "update" semuanya. Abdul Halim al-Muhammadi (1991) menegaskan bahawa guru merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Tidak dapat dinafikan bahawa walau sebaik manapun satu-satu sistem pendidikan itu, maksud yang ingin disampaikan tidak akan dapat dicapai sekiranya gerak kerja seseorang ejen itu tidak efektif. Maka, seseorang guru haruslah bersiap siaga dengan segala kelengkapan diri untuk menjadi guru seperti kelengkapan ilmu, keluhuran budi pekerti dan kesedaran yang maksima terhadap peranan mereka sebagai pendeta yang terlatih atau pun profesional. Paduan antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran budi pekerti tidak dapat dipisahkan kerana dua elemen penting ini amat berkait rapat dalam melahirkan guru-guru yang hebat.

Setakat ni sahaja dahulu, mohon tunjuk ajar semua. Wallahhu a'lam.

Date 20/10/2013
By Abu Huzaifah bin Sani
Subject Menjadi Model Pendidikan

Langkah utama yang dapat diteladani daripada Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda ialah ajaran berbentuk praktikal dengan cara menjadikan budi pekerti sebagai ikutan yang baik kepada para pelajar. Baginda tidak pernah mengarahkan sesuatu perkara melainkan setelah baginda melakukannya terlebih dahulu, kemudian barulah diikuti oleh para sahabat berdasarkan apa yang mereka lihat. Budi pekerti baginda yang begitu indah menjadi idola terbaik seluruh manusia dan telah dinukilkan di dalam al-Quran melalui firman Allah s.w.t surah al-Ahzab aya 21. Tidak syak lagi pada kita bahawa mengajar dengan perbuatan dan praktikal adalah lebih berkesan. Ia merupakan cara terbaik untuk difahami dan lebih mendorong untuk diikuti berbanding dengan pengajaran berbentuk teori dan penerangan semata-mata.

Date 20/10/2013
By Muhammad 'Aamir
Subject Menyelusuri Sirah Rasulullah

Pada pendapat saya,sebagai seorang bakal guru Pendidikan Islam,salah satu langkah untuk mencontohi Rasulullah dan para sahabat dalam mendidik ialah dengan kita mendalami atau menyelusuri sirah Rasulullah dan para sahabat....Apabila kita mendalaminya,barulah kita dapat menghayati akhlak2 Rasulullah dan para sahabat secara tidak langsung...dua elemen penting yang perlu kita persiapkan diri kita sebelum kita mendidik anak-anak didik kita ialah ilmu dan akhlak...Ilmu dan akhlak boleh diumpamakan seperti gula dan garam..kedua2nya perlu dalam masakan untk menjdikan mkanan tersebut sedap untuk dimakan dan baik...begitulah juga kita sebagai guru,perlunya ilmu dan akhlak supaya kita dapat mendidik anak-anak didik dengan acuan Rasulullah...Apapun yg penting,sebelum kita mentarbiyah anak-anak didik,kita perlu mentarbiyah diri kita terlebih dahulu dengan mempersiapkan diri kita dengan ilmu dan akhlak Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam..hnya pandangan prbdi,mohon teguran.. Wallahu'alam...

Date 19/10/2013
By ABU BAKAR ABDULLAH
Subject ADAB ATAU ILMU ?

Dalam penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi.

Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).
Istilah najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh merosakkan manusia.
Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).
Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.
Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.
Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.
Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.
Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.
Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.
Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.
Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)
Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.
Berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman yang berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.

Date 17/10/2013
By Masitah Binti Mohamed Khasim
Subject Langkah yang perlu dilakukan KITA sebagai PENDIDIK

Assalamualaikum..skadar pnambahan bgi prkongsian shabat2 di atas, sbenarnya tidak dapat dinafikan bahawa banyak sekali cara didikan Rasulullah saw dan para sahabat radhiallahu 'anhum yang dapat kita ambil sebagai contoh utama dalam proses mendidik ini. Mendidik bukan semata2 mendidik murid2 di sekolah akan tetapi turut berfokuskan kpada mendidik diri sendiri. Oleh itu, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh seorang pendidik itu ialah tahu dan mahu mendidik. Jika kita hanya menyampaikan ilmu scara lisan tanpa menunjukkannya dengan p'buatan, bukanlah ia dinamakan mendidik. sirah Rasulullah banyak menunjukkan bhawa dakwah Rasulullah bukan smata-mata baginda menyampaikan dgn lisan tentang tauhid dan sebgainya, akan tetapi tuturkata, akhlak, sifat dan baginda yang mulia juga itulah yang berjya mlahirkan hamba-hamba Allah yang taat akan perintah-Nya, para sahabat yang sanggup berjuang demi Islam tercinta yang berjaya menyebarkan dakwah Islamiah shingga 2/3 dunia. Imam Syafie ketika ditanya tentang cra didikan beliau, beliau menjawab bhawa beliau mendidik anaknya pada 20 tahun yang lalu. Mustahil bukan? apa yang dimaksudkan beliau ialah mendidik diri sendiri terlebih dahulu, Insyaallah akan dpmudahkan Allah dalam mendidik pada masa akan datang.

Oleh yang demikian, sebgai bakal pendidik perlulah kita menjadikan Rasulullah dan para Sahabat sebgai model utama dalam proses mendidik. Kita mesti KENAL siapa Rasulullah, siapa para sahabat. Hebat sangatkah mereka? Apa kesan daripada hasil didikan mereka? dengan ini, secara tidak langsung kita mendidik dan mengajarkan Islam berpaksikan semata-mata kerana Allah. 'Awwalud dien, ma'rifatullah'.. pelbagai kaedah yang berkesan yang dilakukan Rasulullah dan para shabat baginda telah dikongsikan pada ruangan atas sebelum ini untuk kita contohi & praktikkan dalam dunia pendidikan ini. Apa yg penting, mndidik itu mestilah dengan IMAN dan ILMU. Tanpanya, ia seolah-olah keretapi yg bergerak tanpa landasannya.

Di sini, sya bawa 1 analogi ringkas sbgai peringatan buat insan2 yg berfikir. Sekiranya sebatang pokok yang layu, coklat kekeringan daunnya, tunduk ke bumi batang pokoknya, buahnya yg enak tidak kelihatan..apa yang perlu kita lakukan untuk jadikannya sebatang pokok yang tumbuh segar seperti pokok2 yang lain semula? yang dapat diambil faedah daripadanya...Apakah sekadar mengikatkan dengan tali supaya tegak berdiri semula? menggantungkan buah-buahan yg masak ranum di dahan kayunya? atau lebih mudah dengan menyiramnya dgan cat hijau supaya ia kmbali hijau sperti pokok yang baru tumbuh? Jika begitulah pemikiran kita dalam menangani kes ini, memandang remeh & mengambil mudah urusan sebegini, dikhuatiri kita akan gagal dalam mendidik :(
-tak semua perkara mudah & boleh diambil mudah..semoga kita tdak trgolong dlm glongan ini- Waallahu'alam

"islah nafsak, wad'u ghairak"
-seiringkan.. sma2 sentisa mndidik diri smasa mendidik org lain.

Date 17/10/2013
By Rusila Farhana Bt Muhamad
Subject Penelitian SIRAH Nabawiyyah Secara Terperinci

Bismillah.
Allahumma Solli 'ala Sayyidina Muhammad.

Menyingkap kembali zaman kegemilangan Islam suatu ketika dulu, bermacam-macam persoalan yang berlegar dalam benak kita bagaimanakah umat Islam pada zaman tersebut mampu menongkah arus perjuangan dengan begitu gah sekali walaupun pelbagai mehnah dan tribulasi terpaksa dihadapi demi mempertahankan kedaulatan Islam yang tercinta agar terus cemerlang dan terbilang dengan panji-panji yang gemilang.

Alangkah hebatnya Islam suatu ketika dulu di mana zaman baginda s.a.w sebagai bukti keizzahan islam telah termaktub dalam lembaran sejarah. Sinar Islam itu telah terbit ketika mana umat dunia dilitupi kegelapan jahiliah. Ketika inilah berlaku paradigma terhadap umat islam di timur yang diterangi nur keimanan serta ilmu dari al-Quran yang menjadi agen perubahan sedangkan umat manusia di sebelah barat masih lagi tenggelam dengan kepekatan jahiliah.Bertitik-tolak disinilah,telah muncul agen-agen perubahan di sebelah barat yang terdiri dari tokoh-tokoh sejarah dan cendekiawan-cendekiawan mutakhir begitu kagum dengan sejarah Islam di mana Islam pernah menakluki dua pertiga dunia suatu ketika dulu dan Islamlah yang menumbuhkan kembali ketamadunan yang telah hilang.

Kesemua kegemilangan Islam ini adalah lahirnya daripada sebuah kesinambungan proses pentarbiyyahan zaman-berzaman yang dimulai pada zaman Rasulullah dan Para Sahabat. Saya kira bagi membantu kita melaksanakan metod didikan atau tarbiyyah Rasullah, kita harus mengkaji dan meneliti sirah nabawiyyah terlebih dahulu.

Amatlah tidak wajar kita mengaku kita cintakan Rasulullah dan mahu mengikut metod tarbiyyah Rasullah, tapi dalam masa yang sama kita langsung tidak mengetahui selok belok sirah Rasulullah, Sunnah Rasulullah, Keperibadian Rasulullah dan lain2. Sekadar pandangan dan nasihat untuk diri saya sendiri dan sahabat2 lain. Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan kita menjadi murabbi. Insyaa Allah.

Date 17/10/2013
By Intan Munirah binti Mohd Nordin
Subject Re: Penelitian SIRAH Nabawiyyah Secara Terperinci

Bismillah..

Alhamdulillah.menarik perkongsian Sedari Rusila.Antara pengajaran yang sangat berharga di dalamnya ialah "Amatlah tidak wajar kita mengaku kita cintakan Rasulullah dan mahu mengikut metod tarbiyyah Rasullah, tapi dalam masa yang sama kita langsung tidak mengetahui selok belok sirah Rasulullah, Sunnah Rasulullah, Keperibadian Rasulullah dan lain2."

Syukron perkongsian. ;)

Antara langkah yang boleh diikuti oleh seseorang pendidik ialah pendidik haruslah mempunyai cara bekerja secara profesional supaya dapat meningkatkan imej mereka.

Guru-guru pendidikan Islam seharusnya mempunyai kebolehan untuk meningkatkan teknik pengajaran, dan memahami gaya pembelajaran pelajar bagi meningkatkan pemahaman para pelajar di kelas. Guru yang mempunyai jangkaan tinggi terhadap keupayaan pelajar akan memberi keyakinan berusaha dengan lebih gigih.

Kesungguhan guru-guru menyesuaikan matlamat pengajaran dengan misi sekolah akan membantu pihak sekolah mencapai apa yang telah dirancang bersama. Kesungguhan guru-guru meningkatkan profesionalisme akan memberi keyakinan kepada guru-guru lain untuk menjadikan mereka sebagai guru sumber sekolah.

Wallahualam.

Date 17/10/2013
By aini romali
Subject assalamualaikum

setelah mbca komen shbt2,sdikit pndangan dari saya,.sebagai seorg pendidik,.kita perlu mgkaji sirah untuk mencontohi cara didikan rasulullah dan shbt,.melalui perkongsian yg saya perolehi drpd ust.yusainie(matin),rasulullah mdidik dgn pelbagai cara termasuk kelembutan dan kasih sayang..niat yg ikhlas dlm mendidik adalah perkara utama yg perlu dititikberatkn,.jangan niat untuk mencari makan shaja,selain itu,turut dceritakan tentang sifat lemah lembut yg diamalkn rasulullah melalui sirah,.seorg guru juga perlu
mendidik murid dgn hati yang penyayang..ksimpulannya,ilmu dan kasih sayang perlu seiring dalam mdidik anak bangsa.wallahu'alam.

Date 17/10/2013
By Mohamad Nazir Bin Azlan
Subject Pendidikan Melalui Tauladan

RASULULLAH,
Pada diri baginda terpancar akhlak terpuji yang menjadi sumber ikutan umat (uswatun hasanah). Sejak kecil lagi baginda telah ditarbiyah (dididik), dipelihara dan dilindungi oleh Allah SWT. Masyarakat jahiliyah Mekah yang menyembah berhala serta mengamalkan budaya hidup yang tidak berakhlak turut mengurniakan gelaran 'Al-Amin' kepada baginda.

Baginda diutus sebagai Rasul untuk membawa rahmat kepada sekalian alam (rahmatan lil-alamin) seperti maksud firman Allah: "Dan tiadalah kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam" (surah al-Anbiya:107). Misinya adalah membina masyarakat rabbani yang dinaungi 'Nur Ilahi' (cahaya ketuhanan).

Baginda juga diutus ke alam ini untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia (makarimu'l akhlaq). Akhlak baginda adalah pancaran daripada nilai-nilai al-Quran sebagaimana kata isterinya, Aisyah r.a. bahawa akhlak Nabi adalah umpama al-Quran yang bergerak (Kana Khuluquhul Quran). Justeru, selaku umat Islam, kita dituntut mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

Terdapat banyak sifat dan akhlak mulia Nabi yang boleh dipelajari, dihayati dan diamalkan. Antara sifat-sifat kekuatan diri baginda yang patut dijadikan ikutan ialah tawaduk, pemalu, siddiq, amanah, fatanah, tabah, sabar, syukur, pemaaf, bertakwa, beristiqamah, ikhlas, khusyuk, zuhud, qanaa dan lemah lembut. Nabi juga memiliki al-hikmah (kebijaksanaan) dan Al-Iffah (pengawasan diri).

Nabi juga menjadi contoh ikutan dalam beribadah. Dalam beribadah dan beramal sholeh, baginda mengajar tentang al-ihsan seperti mana maksud hadis baginda: "beribadatlah seolah-olah kamu melihat Allah, dan jika tidak dapat merasai demikian hadirkan hatimu seolah-olah kamu diperhatikan-Nya". 'Al-ihsan' merangkumi segala bentuk kebaikan yang dibuat oleh manusia semata-mata untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Antara contoh amalan ibadah Nabi yang perlu diikuti ialah bersolat wajib secara berjemaah di masjid, memperbanyakkan solat sunat di rumah, beristiqamah solat tahajjud, gemar melakukan iktikaf, banyak berpuasa sunat, sentiasa berzikir, berdoa dan bertaubat, kuat berjihad, istiqamah dalam beramal, banyak membaca al-Quran, melazimkan siwak (bersugi), berjanggut, berserban dan berjubah.

Para pendakwah (da'i) patut mencontohi kesabaran yang tinggi serta keteguhan jiwa yang dimiliki baginda ketika menyampaikan risalah Allah kepada manusia. Baginda sentiasa berinteraksi dengan masyarakat dengan cara yang maaruf. Rasulullah suka membalas kejahatan dengan kebaikan. Antara sifat-sifat baginda ketika bergaul dan berhubung dengan masyarakat ialah mengasihi anak-anak yatim, mengasihi kanak-kanak, mengasihi orang miskin dan menghormati orang tua.

Baginda juga sentiasa membimbing dan mengasihi yang muda, berkelakuan baik terhadap haiwan, membalas pemberian orang, sentiasa memberi salam dan menziarahi orang sakit. Rasulullah juga mengajarkan aspek tasamauh atau bertoleransi. Nabi bergaul secara maaruf dengan pelbagai kaum dan penganut agama lain. Rasulullah pernah mengizinkan delegasi Kristian dari Najran yang datang ke Madinah melakukan ibadat mereka di satu sudut Masjid Madinah.

Baginda berpesan kepada para sahabatnya jangan merosakkan hubungan dengan orang bukan Islam kecuali mereka menentang Islam atau merobek maruah umat Islam. Untuk membina masrakat Islam yang kukuh, Rasulullah sangat menekankan aspek ukhwah Islamiah atau persaudaraan Islam tanpa mengira warna kulit atau taraf sosial.

Umat Islam diajar tidak menyakiti saudaranya sama ada melalui tangan atau lidahnya. Orang Muslim juga diharamkan menumpahkan darah saudara Muslimnya serta diharamkan menceroboh harta benda dan kehormatannya.

Nabi juga mengajar umat Islam membantu meringankan kesusahan saudara Muslimnya dan membantu golongan miskin. Nabi menegah umat Islam mendedahkan aib atau keburukan saudara Muslimnya supaya keburukannya ditutup Allah di dunia dan di akhirat kelak.

Nabi Muhammad SAW merupakan pendidik yang cukup unggul dalam membangun peribadi insan. Antara sifat-sifat Rasulullah sebagai pendidik yang boleh dijadikan contoh ialah murabbi, mualim dan muaddib. Nabi menjadikan al-Quran sebagai sumber tarbiyah serta bersifat sabar dan menggunakan pelbagai kaedah dalam mendidik.

Dalam mengurus dan mengendalikan rumah tangga Rasulullah sentiasa bergaul secara maaruf dengan isteri dan ahli keluarganya. Baginda sentiasa mendidik, berlaku adil serta bersifat berlemah lembut terhadap isteri-isterinya. Baginda tidak pernah memukul dan menghina isteri-isterinya, sebaliknya bersifat sabar dengan kerenah isteri serta sentiasa menyuruh ahli keluarga melakukan kebaikan.

Dari segi kepemimpinan, Rasulullah adalah seorang pemimpin agung yang memiliki sifat-sifat kepimpinan yang tinggi. Kepemimpinan baginda sangat menekankan aspek integriti seperti amanah, bertanggungjawab, telus dan jujur. Baginda memiliki kemampuan untuk menyusun strategi, bersifat berani, tegas dan berprinsip tetapi dalam masa yang sama baginda bersifat pemaaf dan pemurah.

Selain itu, baginda sentiasa mengamalkan syura, menegakkan keadilan, mengutamakan umat serta sanggup menanggung kesusahan bersama pengikut. Sebagai pemimpin umat, baginda tidak mengharapkan penghormatan dan pujian melainkan mengharapkan keredaan Allah semata-mata.

Kesimpulan, di tengah-tengah arus masyarakat yang semakin subur dengan sifat-sifat mazmumah (keburukan), maka wajarlah umat Islam kembali mencontohi akhlak Rasulullah SAW seperti maksud firman Allah SWT: "Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta pula menyebut dan banyak mengingati Allah" (Al Ahzab:21)

_________________________________________________________

Maka, dalam kita mendidik, kita haruslah meneladani sunnah Rasulullah. Dalam post ini, ana menekankan konsep "Pendidikan Melalui Tauladan". Konsep tarbiyyah itu adalah amat meluas, dan ia bukannya tertumpu semata-mata di dalam kelas sahaja. Ia merangkumi keseluruhan kehidupan kita, dan ini yang menjadi sumber rujukan para mutarabbi kita (orang yang dididik, yakni anak-anak murid).

Sehubungan dengan itu, ana menyeru diri sendiri dan sahabat2 supaya sama2 meneladani sunnah dan akhlak Rasulullah supaya kita dapat menjadi seorang murabbi yang baik dan melahirkan para mutarabbi yang akan menjadi murabbi yang hebat pada satu masa nanti seterusnya dapat meneruskan kelangsungan perjuangan Rasulullah, insyaa Allah.

 

© 2014 All rights reserved.

Make a free websiteWebnode