MENJANA MINDA GURU YANG KREATIF & INOVATIF

Diskusi 3 : Berpandukan ayat 2 surah al-Jum`ah, buat satu analisa tentang fungsi dan peranan sebagai guru serta bincangkan kaedah yang bersesuaian bagi menjayakan tugas guru berkenaan.

Topic: Diskusi 3

Date 22/10/2013
By NORDIANA BINTI YUSUF
Subject salam...

# GURU JUGA SEBAGAI PEMBINA NEGARA BANGSA


Guru mempunyai peranan dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Peranan guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat. (2)

Guru melalui pendidikan, boleh membentuk bangsa yang bersatu padu dan bangsa yang mampu memahami aspirasi negara seterusnya membawa Malaysia ke mercu lebih gemilang pada masa depan. Kita melihat pentingnya guru dalam membentuk generasi lebih seimbang.

Masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran dan memenuhi cita rasa bangsa dan negara. Guru juga bertanggungjawab membimbing anak kita untuk terus menjadi manusia sempurna, insan kamil yang sekali gus dapat mewarisi usaha membangunkan negara. (13)

Kepelbagaian kaum dan keturunan yang kita kenali sebagai masyarakat majmuk di negara ini membentuk keistimewaan tersendiri selain bersatu padu dan mempunyai impian sama dalam memajukan negara. Menerusi sistem pendidikan negara, antara matlamat utama ialah membentuk rumpun bangsa. Kepelbagaian bangsa dan bahasa itu bukan satu kekangan, sebaliknya kekuatan dan tambah nilai dalam membentuk satu bangsa yang kuat. Pembentukan perpaduan serta toleransi bermula pada peringkat sekolah. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru dalam membentuk keseimbangan di kalangan pelajar yang datang daripada pelbagai kaum dan keturunan dalam proses membentuk perpaduan. (13)

Secara ringkasnya, guru – guru berperanan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jati diri murid. (5)

Guru bukan saja menyampaikan ilmu dalam kelas, sebaliknya guru juga membawa pengaruh sosial, membentuk ciri kepemimpinan, personaliti dan meniup inspirasi mendorong pelajar mencipta kejayaan, baik dalam aspek akademik mahupun insan seimbang.


wallahu a'alam

Date 22/10/2013
By NORDIANA BINTI YUSUF
Subject salam...

kepada tingkah laku negatif pelajar berbanding tingkah laku perbuatan positif pelajar lebih lagi bila guru berada di dalam tekanan kerja atau keadaan fizikal yang lemah atau letih.

Oleh itu jika para guru dapat memulakan pujian kepada pelajar secara berterusan maka satu hari nanti pelajarnya pula akan menjadi seorang dewasa yang akan pula sentiasa memberikan pujian kepada para rakan sekerja di tempat kerajaan atau anak-anak mereka di rumah. Semoga pelajar tidak akan lagi merindui pujian daripada guru-guru mereka. (6)

2) Guru dituntut Mempermudahkan Segala Urusan dan Menyampaikan Khabar Gembira

Lihat pada hadis berikut ini.
ABU Burdah berkata : "Rasulullah mengutus ayahku, Abu Musa dan Muaz ke Yaman. Nabi berkata: Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan bersedia sekatalah kamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam menyampaikan ilmu ada tatacara yang perlu diamalkan supaya segala apa disampaikan menjadi ikutan. Antaranya, kita dilarang daripada menyukarkan manusia melakukan ketaatan kepada Allah.

Nabi SAW juga menyuruh kita menggembirakan manusia bukan menjadikan mereka berasa benci dengan ajaran disampaikan. Oleh itu, kita hendaklah mendahulukan perkara menyedarkan manusia dan membangkitkan semangat mereka untuk melakukan kebaikan.

Jangan sekali-kali kita memberatkan dengan perkara berbentuk ancaman kerana ia akan menjauhkan masyarakat daripada agama dan kebenaran. Sebaliknya, jinakkan hati mereka dengan bertindak secara berhikmah kerana perubahan manusia kebiasaannya memakan masa dan melalui peringkat serta tahap tertentu bukan bersifat drastik atau melulu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Permudahkanlah semua urusan dan jangan menyusahkannya, berilah khabar gembira dan janganlah membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain lari.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Islam adalah agama mudah dan senang diamalkan setiap golongan. Oleh itu, hendaklah ia dipermudahkan dan janganlah dijadikan sebagai bebanan dalam menyampaikan sesuatu ilmu.

Umat Islam hendaklah sentiasa menyampaikan perkhabaran yang menggembirakan dan janganlah menimbulkan perkara membawa kepada kesulitan hidup. (9)

3) Guru dituntut Bersikap Lemah Lembut, sentiasa Sabar

Firman Allah yang bermaksud :
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah An-Nahl, ayat 125)

Justeru, guru perlu mempunyai sifat lemah lembut dan sentiasa menghiasi diri dengan sifat sabar walaupun terpaksa berdepan mereka yang menentang kerana mendidik melalui contoh yang baik adalah lebih berkesan.

Kewajipan sentiasa berlemah lembut turut ditekankan Rasulullah SAW dalam apa hal kerana kebajikan diharamkan bagi mereka yang tidak mempunyai sifat lemah lembut. Sabda Baginda yang bermaksud :
“Barang siapa yang tidak memiliki sifat lemah lembut, maka diharamkan seluruh kebaikan bagi dirinya.” (Hadis riwayat Imam Muslim) (9)

GURU ITU MEMIMPIN


# Guru sebagai Pemimpin

Khidmat guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan saja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara, malah membuka peluang kepada guru meraih keberkatan serta reda Allah.

Sesungguhnya, amanah menyampaikan ilmu adalah tanggungjawab yang dipersoalkan pada akhirat kelak. Rasulullah SAw bersabda yang bermaksud :
“Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu juga bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi) (2)

Segala ilmu disampaikan guru kepada pelajar akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat. Di sini peranan guru meningkatkan usaha serta kreativiti supaya proses pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan.

Kecemerlangan pendidikan tidak boleh dilihat dari sudut akademik semata-mata. Dalam proses pembelajaran, para pelajar didedahkan juga dengan nilai-nilai kepemimpinan misalnya, yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat maju. Ini hanya akan berlaku jika guru itu ada kepimpinan. Guru bukan setakat guru di dalam bilik darjah, mereka juga pemimpin dalam bilik darjah. Mereka boleh memimpin para pelajar dalam sistem moral, akhlak, kreativiti, daya usaha. Kesemua ini bergantung kepada guru sendiri. Sebab itu dalam sistem pendidikan kita, kita tekankan kokurikulum supaya pelajar dapat dinilai dari sudut sikap untuk menjadi kreatif dan ada semangat tambah nilai kepada usaha pelajar di samping kemahiran tambahan. (15)

# Guru ialah Ejen kepada Keberkesanan Pendidikan.

Kejayaan dan keberkesanan pendidikan berhubung rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Kesepaduan antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran peribadi adalah kriteria peribadi pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya jadi contoh berkesan. (2)

Guru bertindak sebagai penunjuk pandu. Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada golongan guru bagi memberi didikan semaksimum mungkin kepada anak-anak mereka. Potensi diri seseorang yang telah memilih kerjaya sebagai seorang guru sebenarnya mampu menjelmakan hasrat murni tersebut tetapi perlulah dilampir dengan dengan keikhlasan dan iltizam yang ampuh. (16)

Guru sebagai manusia biasa. Sanjungan dan tingginya harapan seluruh komuniti masyarakat terhadap guru tetap tidak dapat merubah hakikat diri bahawa guru juga adalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan atau keterlanjuran. (16)

# Guru adalah sebagai Idola, Membina Sahsiah dan Nilai Manusia terhadap orang di bawah pimpinan.

Guru sebagai idola para pelajar. Guru perlu sentiasa bertingkah laku sopan, bersifat intelek, ini kerana pada mata masyarakat, guru sebenarnya dianggap golongan cendekiawan yang berkemampuan membawa reformasi mental dalam kehidupan seharian. (16)

Guru sebagai ‘qudwah hasanah’ (contoh terbaik) kepada masyarakat. Setiap sifat, gerak-geri, tingkah laku, tutur kata, tata cara hidup selalunya menjadi ikutan oleh pelajar dan masyarakat sekeliling. Justeru, guru mesti berwibawa dan dapat memberi contoh yang baik dalam semua hal. (1)

Guru perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi pelajar dalam pembentukan sahsiah mereka. Contoh teladan pendidik ini yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Mereka yang seharusnya terlebih dulu dilengkapi ciri akhlak mulia walaupun masyarakat kurang menghargai watak yang berbudi luhur. (2)

Guru perlu sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku supaya dapat menjadi ikutan terbaik kepada generasi muda. Guru harus sedar setiap tingkah laku mereka sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Jangan sesekali bercakap sesuatu yang tidak pernah dilakukan. Sesungguhnya balasan Allah amat berat bagi mereka yang tidak melakukan apa yang diperkatakan.

Firman Allah yang bermaksud :
"Wahai orang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (Surah as-Saf, ayat 2-3)

Hakikatnya, jika guru tidak menjaga maruah dan perilaku, mereka merendahkan fungsi dan martabat sendiri pada mata masyarakat, seterusnya mengabaikan amanah Allah bagi melahirkan umat yang terbaik menerusi ilmu pengetahuan. (14)

Impak guru dalam kehidupan kita cukup besar termasuk dalam membentuk personaliti dan keperibadian.

Date 22/10/2013
By NORDIANA BINTI YUSUF
Subject salam...

Maka apa yang masih terus diamalkan atau digunakan sebagai panduan hidup itulah ilmu hasil didikan daripada bekas guru-gurunya. Selama belasan tahun di sekolah, biasanya lebih banyak yang dilupakan oleh seseorang dan sangat sedikit sahaja yang diingati. Dan antara perkara yang boleh diingati ialah pujian yang diberikan oleh beberapa orang guru yang diberikan kepada pelajarnya yang mana pujian ini banyak membina semangat dan keinginan pelajar untuk cemerlang dalam pelajaran.

Mereka mungkin lupa bahawa pujian secara psikologinya jika dilakukan dengan cara dan gaya yang betul akan menjadi kaedah yang paling berkesan untuk mempengaruhi tindakan, pemikiran serta sikap pelajar.

Ramuan yang betul dalam memberikan pujian seperti pemilihan bahasa yang tepat, kesesuaian masanya dan dizahirkan dengan ikhlas dari hati guru akan membuatkan tingkah laku seseorang pelajar dapat ditingkatkan atau diperbaiki ke arah yang lebih positif.

Kadang kala pujian juga boleh menjadi tidak berkesan walaupun dilakukan berulang kali oleh guru. Sebagai contoh, memuji pelajar selepas beberapa lama perbuatan positif dilakukan tidak akan mengembangkan tingkah laku positif pelajar.

Pujian diberikan sejurus selepas pelajar melakukan perkara yang baik. Misalnya adalah sangat berkesan jika guru memberikan pujian selepas seseorang pelajar berjaya menjawab dengan betul berbanding memberikan pujian beberapa lama selepas pelajar memberikan jawapannya.

Di luar kelas, adalah sangat berkesan guru memberikan pujian sebaik sahaja pelajar melakukan perkara yang baik misalnya membuang sampah ke dalam tong sampah atau pelajar berbaris semasa membeli makanan di kantin sekolah berbanding memberikan pujian secara umum semasa perhimpunan lama selepas tingkah lalu tersebut di lakukan.

Pujian secara umum atau generalisasi dilihat tidak berkesan. Pujian seperti 'awak baik', 'awak pandai' atau 'awak bersih', sebenarnya kurang memberikan kesan kepada pelajar. Pujian seharusnya berbentuk khusus atau spesifik. Misalnya "Cikgu bangga dengan pencapaian markah kamu dalam ujian kali ini".

Ada juga pujian yang boleh dilakukan dengan menulis sesuatu di dalam buku atau kertas jawapan pelajar yang dapat dibaca atau difahami oleh pelajar tersebut sebagai satu pujian yang khususnya ditujukan kepada kebolehan atau pencapaiannya sama ada yang bersifat akademik, atau kerana tingkah laku atau sikap yang baik.

Malah lebih buruk lagi jika ramuannya tidak betul, pujian bukan sahaja boleh menjadi tidak berkesan tetapi boleh menyebabkan tingkah laku seseorang pelajar menjadi lebih buruk dari sebelumnya.

Misalnya apabila seseorang pelajar melakukan perkara yang baik dan diberikan pujian oleh guru tetapi dalam bentuk sindiran maka pujian seperti ini akan menyedihkan pelajar.

Sebagai contoh apabila seorang guru berkata kepada pelajarnya "awak ini bukanlah pandai sangat tetapi mungkin nasib anda baik mendapat markah yang tinggi dalam ujian ini kali ini, tahniahlah untuk awak".

Pujian seperti sindiran juga boleh berlaku dalam bentuk perbandingan. Misalnya, "tahniah kerana awak berjaya mendapat markah yang baik tetapi nampaknya markah awak masih rendah berbanding kawan awak si X". Usaha lagi nanti". Atau ada juga pujian seperti," Markah anda dalam ujian kali ini baik. Jadi jangan lagi seperti ujian-ujian yang lalu. Saya mahu setiap kali ujian markah anda akan baik daripada hari ini".

Seterusnya ialah pujian yang melibatkan soal kuantiti dan juga kualiti. Pujian merupakan kuasa positif yang jika selalu digunakan secara berkesan akan meningkatkan pembangunan positif pelajar.

Oleh itu lebih banyak pujian sebenarnya adalah lebih baik. Bagaimanapun kuantiti pujian seharusnya dilengkapi dengan pujian yang berkualiti. Jadi di sekolah rendah kualiti pujian yang baik seharusnya di ikuti dengan pelukan guru kepada pelajar (tentunya guru perempuan sahaja yang sesuai melakukannya, pada guru lelaki bolehlah melakukan dengan memberikan senyuman menunjukkan rasa bangga).

Pujian yang baik ialah yang dilengkapi dengan sentuhan atau tingkah laku senyuman yang menunjukkan rasa kasih dan sayang seorang guru pada pelajarnya.

Sebenarnya ada kajian yang menunjukkan kebanyakan guru kurang atau tidak suka memberikan pujian kepada para pelajar. Malah di kalangan guru yang mengakui mereka telah memberikan banyak pujian kepada pelajar, sebenarnya pujian yang mereka berikan masih kurang daripada apa yang diharapkan atau di rindu oleh pelajar.

Percayalah, pujian boleh mengubah pelajar. Jika guru dapat melakukan secara berterusan dengan penuh hikmah dan sabar maka akan lebih ramai pelajar yang akan mengubah sikap dan tingkah laku menjadi lebih positif.

Amalan pujian bukan sahaja paling berkesan mengubah tingkah laku pelajar tetapi sebenarnya berkeupayaan untuk membina persekitaran bilik darjah yang penuh motivasi, kasih sayang dan harmoni.

Disebabkan oleh persekitaran, minda pelajar sebenarnya lebih cenderung untuk memberikan super-respons kepada perkara negatif yang diasak keadaan mereka berbanding perkara positif. Misalnya pelajar akan lebih cepat sedih bila dimarahi oleh berbanding gembira bila mereka dipuji.

Mereka juga biasanya akan lebih cepat merasa malu apabila disindir berbanding merasa bangga apabila berjaya mencapai sesuatu. Oleh itu untuk membolehkan tingkah laku positif berkekalan dicapai, maka pujian secara berterusan, berkualiti serta ikhlas perlulah dilakukan oleh para guru.

Malah secara tidak sedar juga, kebanyakan guru juga lebih cenderung untuk cepat memberikan respons

Date 22/10/2013
By NORDIANA BINTI YUSUF
Subject salam...

GURU ITU MENDIDIK


# Guru berperanan memberi kesedaran kepada diri sendiri, juga kepada kumpulan di bawah bimbingan mereka termasuk dalam hal menjaga hubungan dengan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud :
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ahli ilmu.” (Surah Faathir, ayat 28)

Firman Allah lagi yang bermaksud :
“Wahai orang beriman, apabila dikatakan kepada kamu berikan sedikit ruang pada majlis, maka berikan ruang, nescaya Allah akan memperluaskan ruang untuk kamu. Allah mengangkat darjat orang yang dikurniakan ilmu kepada mereka dan (ingatlah) Allah itu Maha Mengetahui terhadap apa saja yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11) (2)

# Guru juga berperanan sebagai ibu bapa

Guru secara tidak langsung akan memainkan peranan ibu bapa seperti mendoakan kejayaan anak muridnya, memberi galakan dan motivasi dalam pembelajaran, mengingatkan dan memberi nasihat tentang perkara – perkara yang baik dan buruk, menegur anak – anak murid jika melakukan kesalahan dan menerangkan perkara yang patut dilakukan, memberi puji – pujian dan kata – kata peransang, lebih menghabiskan masa berjumpa dan berbincang dengan anak murid tentang permasalahan yang mungkin timbul dan lain – lain lagi.

Oleh itu guru boleh dianggap sebagai ibu bapa ‘kedua’ apabila berada di sekolah kerana guru bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelajar, lebih – lebih perkara yang berkaitan keselamatan.

# Gurulah kaunselor yang menjadi tempat rujuk pelajar merungkai persoalan dan masalah.

Guru bertindak sebagai pendengar yang aktif sekiranya terdapat pelajar yang datang untuk menceritakan atau berkongsi masalah. Guru kemudian cuba memahami dan kemudian mencadangkan beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan pilihan oleh pelajar tersebut. Keputusan mutlak terletak kepada pelajar itu sendiri setelah berlaku perbincangan baik dan buruk sesuatu langkah yang bakal diambil.

Segala kekeliruan dan persoalan guru perlu menjawab dengan ikhlas dan jujur. Jawapan yang diberikan bergantung kepada ilmu pengetahuan yang kita ada. Sekiranya tidak pasti dengan jawapan, tidak salah untuk mengatakan bahawa kita tidak mempunyai cukup pengetahuan mengenai sesuatu perkara, namun ia perlu disusuli dengan cadangan yang mana boleh pelajar tersebut membuat rujukan atau memperoleh jawapan. Jujur pada diri untuk mengelak kecewa dan ketidakpuasan hati. Ingat, segala jawapan yang diberikan kepada pelajar adalah ilmu yang mungkin ‘menyesatkan’ pelajar berkenaan.

# Guru itu pembimbing

Guru bertindak sebagai muaddib dan pembimbing. Guru bertanggungjawab menyelia dan mengawal disiplin, penyubur sifat terpuji dan mementingkan kerohanian anak-anak didik sendiri. (16)

Disiplin amat dipentingkan dalam pendidikan dahulu. Disiplin bermakna mengikut peraturan yang ditetapkan. Pendidikan sekarang berkonsepkan kaunseling.

Kaunseling bermakna 'membimbing'. Membimbing anak bangsa kita dengan semangat (sifat) yang baik. Bila digabungkan disiplin dengan bimbingan, sepatutnya kita akan membuahkan manusia yang berbudi pekerti mulia dan berpelajaran tinggi. Adalah wajar tiap-tiap diri guru sekarang menjadi dan sanggup bertindak sebagai guru disiplin dan kaunseling. (4)

Nilai Kasih Sayang dalam Mendidik

Mengamalkan elemen dan nilai kasih sayang dalam hubungan guru-pelajar dalam mendidik. Selain itu, tumpuan adalah pembinaan tanggungjawab merupakan elemen penting sebagai asas hubungan antara guru dan pelajar.

Elemen kasih sayang ini boleh dilaksanakan dengan sentiasa memberikan pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar. Serta sentiasa menggunakan lebih ‘kelembutan’ berbanding ‘kekasaran’. Selain itu dalam melaksanakan sesuatu pengajaran dan pembelajaran, permudahkanlah kaedah dan cara agar murid mudah memahami apa yang dipelajari dan gembira mendapat ilmu daripada guru.

1) Pujian Guru kepada Pelajar

Pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar boleh membuatkan pelajar rasa seperti segala apa yang dilaksanakan dihargai dan boleh membantu pelajar lebih bersemangat. Menggalakkan pelajar melaksanakan sesuatu perkara dengan baik, betul dan bersungguh - sungguh.

Maka ucapan 'terima kasih', 'tahniah', 'bagus', 'saya bangga' dan pujian seumpamanya patut diamalkan secara ikhlas dan berterusan di sekolah. Kajian pendidikan membuktikan bahawa pujian merupakan kaedah utama dan berkesan untuk membina hubungan kasih sayang di sekolah.

Bagaimana jika pelajar melakukan kesalahan atau kesilapan. Maka mereka seharusnya diberikan nasihat yang tepat dan jelas oleh para guru. Apa yang pasti, memukul sesuka hati bukanlah amalan pendidikan yang sesuai untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah, malah tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana agama dan kepercayaan.

Saintis terkenal, Albert Einstein pernah berkata bahawa makna kepada pendidikan ialah sesuatu yang masih diingati oleh seseorang apabila beliau sudah terlupa tentang semuanya tentang zaman persekolahannya dahulu.

Date 22/10/2013
By NORDIANA BINTI YUSUF
Subject salam...

Islam sebagai agama yang mementingkan ilmu pengetahuan memandang tinggi martabat seorang pendidik. Rasulullah SAW sendiri sudah membuktikan pentingnya peranan guru dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam.

Sebagai utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda sendiri berperanan mengajar dan mendidik umat manusia berpandukan wahyu Ilahi yang diterimanya.

Firman Allah yang bermaksud :
"Dialah (Allah) yang mengutuskan daripada kalangan orang yang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam keadaan sesat yang nyata." (Surah al-Jumu'ah, ayat 2)

Selain itu, Baginda SAW juga mengambil inisiatif dengan menghantar Mus'ab ibn 'Umair ke bumi Yathrib (Madinah) dengan tujuan mengajar al-Quran dan ilmu asas berkaitan Islam kepada masyarakat Arab yang baru memeluk Islam pada ketika itu.

Inilah antara peranan penting pendidik dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islamiah dengan cara lebih berkesan. Secara tidak langsung, sebenarnya Rasulullah SAW turut menggesa umatnya menjadi pendidik menerusi sabdanya yang bermaksud :
"Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat." (Hadis riwayat Bukhari)

Saidina Ali pernah berkata :
"Jadilah orang yang mencurahkan ilmu atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang suka mendengar ilmu atau orang yang cintakan ilmu dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, maka kamu akan binasa." (14)

Segala amal bakti seorang guru menyampaikan ilmu bermanfaat kepada anak didik akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi mengadap Ilahi.

Firman Allah yang bermaksud :
"Dan (ingatlah), apa juga kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya." (Surah al-Muzammil, ayat 20)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim) (14)

Date 22/10/2013
By mohd khairul anuar bin sahimi
Subject kaedah rasulullah sebagai pendidik

Rasulullah SAW menggunakan pendekatan Pendidikan Informal, iaitu suatu bentok pendidikan tidak resmi. Ia berlaku pada sebarang tempat, pada sebarang waktu dan pada sebarang orang, tidak kira kecil atau besar, tua atau muda.

Rasulullah memberi priority kepada pendidikan informal daripada pendidikan formal (resmi) kerana kaedah informal lebih berkesan, praktikal dan memberi hasil yang cepat dan konkrit. Manakala pendidikan formal hanya menambahkan teori-teori yang jarang dipraktikkan.

Sistem Pendidikan Rasulullah ini kelihatan mempunyai maksud untuk melahirkan manusia yang mengamalkan ilmu. Baginda tidak menekankan ilmu yang tinggi atau ilmu yang banyak, sebaliknya memberi keutamaan kepada pengamalan ilmu.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada bersabda, “Barangsiapa beramal dengan ilmu yang ia tahu, ALLAH akan pusakakan kepadanya ilmu yang dia tidak tahu.” (dikeluarkan oleh Abu Nuaim).

Sehubungan dengan itu, guru mesti menjadi contoh yang baik terhadap anak-anak muridnya. Sikap dan cakap guru sepanjang masa di dalam pergaulannya dengan murid-murid mesti bersifat mengajar dan mendidik. Kiranya berlaku hal yang sebaliknya, ertinya guru itu sudah mengagalkan matlamat pendidikannya supaya anak-anak muridnya beramal dengan ilmu yang mereka perolehi.

Oleh kerana sistem pendidikan Rasulullah tidak memberi penekanan kepada menghafal, mengingat dan menulis kembali ilmu tetapi ialah pada pengamalan. Maka, sudah tentu tidak ada apa-apa sijil kelulusan yang hendak dikeluarkan. Sebab produk akhir yang dikehendaki ialah TAKWA, dan ukuran takwa ialah pada akhlak dan amal soleh. Takwa itulah nilai tertinggi bagi seseorang yang menuntut ilmu kerana ALLAH. Seperti kata pepatah, “Jadilah seumpama padi, semakin berisi semakin tunduk. Jangan jadi seperti lalang, semakin tinggi semakin menyucuk!”.

Dengan kaedah-kaedah di atas, pelajar yang lahir dari sistem pendidikan Rasulullah ialah orang yang terus beramal, bekerja dengan ilmu yang ia dapat, bukan kerana gaji tetapi kerana ALLAH. Ertinya mereka bekerja dengan penuh tanggungjawab, bersih daripada dosa dan maksiat, dan selamat daripada mengharapkan sebarang kepentingan duniawi atau pribadi.

Date 22/10/2013
By siti syazwani binti mohd said
Subject tanggungjawab

assalamualaikum..
berdasarkan kefahaman dan pendapat saya berkenaan tafsir ayat 2 surah al-jum'ah, jelas membuktikan bahawa tugas guru amat berat dan kita perlu memikul tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin agar kerja yang kita lakukan sehari-hari mendapat keberkatan dari Allah..

Date 22/10/2013
By izzul faizuan
Subject peranan guru mendidik manusua untuk memahami islam sebagai ad-din

sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya. begitulah sifat ilmu yang disebut didalam al-quran. dalam menjawab persoalan ayat 2 surah al-jum'ah ini banyak berkait rapat dengan peranan guru. sebelum saya memberikan ulasan saya sertakan terjemahan surah al-jum'ah ayat 2 yang bermaksud:

"Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata"

Tugas mendidik ini merupakan tugas yang dibawa oleh baginda rasulullah s.a.w. sendiri dan ia diteruskan lagi oleh golongan ulama yang mewarisi tugas menyampaikan ilmu dan mendidik masyarakat. golongan yang berilmu ini merupakan pewaris nabi sepertimana mafhum dalam sebuah sabda rasulullah s.a.w. : “Ulama ialah pewaris nabi.” Justeru, tugas sebagai seorang guru ini merupakan suatu pekerjaan yang amat mulia disisi agama islam. Di samping menjadi rasul, baginda juga berperanan sebagai seorang guru dan pendidik. Imam al-Ghazali menyatakan, “tidak ada martabat yang lebih tinggi daripada martabat kenabian dan tidak ada kemulian yang lebih mulia daripada menjadi pewaris martabat kenabian.” Kelebihan ilmu pengetahuan juga dapat ditanggapi daripada matlamat atau tujuan diutuskan Rasulullah s.a.w. sebagai nabi dan rasul kepada umat manusia.

oleh itu tugas guru untuk membawa umat manusia kepada Ad-Din iaitu suatu cara hidup yang bersumberkan wahyu Allah dan As-sunnah merupakan tanggungjawab utama sebagai guru.

Date 20/10/2013
By SOLIHIN 16
Subject ASSALAMUALAIKUM..

Rasulullah SAW seorang pendidik yang cemerlang. Hasil didikan Baginda SAW, lahir tokoh ternama dan tersohor seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Othman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Tholib serta sahabat yang lain.


Dicontohi sepanjang zaman
Guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya," Imam al-Ghazali

Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi dan diteladani sepanjang zaman. Allah SWT telah merakamkan beberapa ayat dalam al-Quran mengenai peranan Rasulullah SAW sebagai guru atau pendidik.

Firman Allah SWT: “Dialah Tuhan yang telah mengutuskan kepada kaum ummi (buta huruf) seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, (berjuang) menyucikan mereka serta mengajarkan mereka kitab dan hikmah. Sesungguhnya mereka (sebelum diutus Muhammad) benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Jum’ah, ayat 2)

Selain nas al-Quran, Nabi SAW juga bersabda: “Sesungguhnya aku telah diutuskan (oleh Allah) sebagai seorang guru (pendidik manusia).” (Riwayat Ibnu Majah)

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan duduk mencangkung membuang air kencing dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti! Namun Rasulullah SAW berkata: Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri. Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran. Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.”
Berpandangan jauh

Iktibar yang boleh diambil daripada kisah itu ialah jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan, terutama guru. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.

Menegur kesalahan seseorang dengan cara berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci mengenai kesalahan dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh seharusnya diikuti guru.

Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar perlunya bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.

Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.

Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru akan menyedari bahawa sabar memberkati usaha gigihnya mendidik. Selain itu, guru perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik.

Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Pada hal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk dari Allah yang kerananya aku utusan-Nya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Proses pengajaran

Ini menjelaskan kepada kita proses pendidikan dan pengajaran adalah satu metodologi yang perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti psikologi, sosiologi dan daya membuat pertimbangan seseorang pelajar.

Gabungan ilmu pengetahuan itu membolehkan guru mengajar dengan berkesan dan menarik minat pelajar mengikuti pengajaran.

Date 21/10/2013
By MOHD SYAFIQ BIN SHAMSUDDIN
Subject Kompetensi Guru

Masyarakat kita sering menganggap bidang perguruan sebagai satu kerjaya yang kurang profesional. Sejak kebelakangan ini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan ahli politik berusaha untuk mempertingkatkan martabat profesion perguruan. Ini adalah kerana kepekaan mereka dalam menilai peranan guru dalam merealisasikan Wawasan 2020. Sehubungan dengan itu, pelbagai cadangan telah dikemukakan untuk meningkatkan martabat profesion perguruan termasuk kenaikan gaji serta cara bagaimana profesion perguruan dapat ditingkatkan kemuliannya di mata masyarakat seperti di zaman datuk nenek kita dahulu.
Peranan guru sebenarnya sangat penting. Guru adalah sumber penyampai ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada para pelajar. Selain itu, guru juga berperanan sebagai tempat untuk memperkembangkan bakat, minat dan kebolehan pelajar serta sebagai wadah untuk membina daya pemikiran yang kritis dan kreatif pelajar sehingga mereka nanti dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Seorang guru yang telah menyempurnakan latihan samada di maktab perguruan atau di mana-mana pusat pendidikan guru tidak seharusnya menganggap proses pembelajaran mereka telah sempurna. Begitu juga dengan guru yang telah lama mengajar. Kejayaan seseorang guru dalam kerjayanya antara lain bergantung kepada kesediaan guru untuk memajukan diri dan profesionnya melalui pelbagai aktiviti dan program pendidikan secara formal, informal atau nonformal. Guru akan melalui pelbagai bentuk perubahan samada di dalam atau di luar profesion. Diantara tuntutan dalaman yang diperlukan ialah kesediaan guru untuk mencuba pelbagai teknik, kaedah serta pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang efektif disamping menghadapi perubahan dari segi istilah, kandungan kurikulum serta penggunaan teknologi baru (Mohamad Sani Ibrahim & Zuraidah Majid, 2002).
Membangunkan guru itu sendiri menjadi salah satu faktor dalam membangunkan pendidikan di sesebuah negara. Perkembangan profesional juga dilihat sangat diperlukan kerana kebanyakan guru terutama generasi dulu yang telah 10 hingga 20 tahun mengajar di sekolah masih mengguna cara lama dalam mengajar, misalnya. Borko (1998) menyatakan bahawa guru-guru yang telah lama mengajar lebih menumpukan kepada penguasaan konsep sebagai fokus utama dan kurang memberi fokus kepada proses itu sendiri atau ilmu yang dijana dari penyelesaian masalah dalam subjek tersebut. Fokus kedua ini sebenarnya dapat diperolehi dengan memperbanyakkan aktiviti yang menggalakkan penglibatan pelajar dalam membina, mengguna dan menilai pemikiran mereka. Sebagai contoh, untuk pengajaran Pendidikan Islam misalnya, perlulah memasukkan lebih penyelesaian masalah dalam Pendidikan Islam, lebih komunikasi antara guru Pendidikan Islam dengan pelajar dan mencari hubungkait antara idea Pendidikan Islam dan aplikasi. Dengan ini satu perubahan perlu dilakukan di mana ahli jabatan di universiti perlu meningkatkan kualiti pengajaran, fakulti pendidikan mesti menitikberatkan kepentingan ilmu dan kerajaan negeri mestilah berusaha keras dalam menjalankan satu usaha yang sistematik untuk mengembangkan pembangunan profesional para guru (Wu, 1999).
Hasil membangunkan profesional guru, kelak kita akan dapat membina kemahiran, pengetahuan dan strategi pengajaran-pembelajaran, ketrampilan serta kemampuan untuk berurusan dengan masyarakat sekolah dengan lebih baik. Mungkinkah profesional guru boleh terbangun? Sekiranya pembangunan profesional guru tidak menjadi pelan utama bagi Kementerian Pendidikan, sehingga itulah kita tidak akan memenuhi keperluan pendidikan bagi semua pelajar. Untuk mencapai apa yang kita inginkan, bukan sahaja para guru yang terlibat tetapi juga sepatutnya melibatkan banyak pihak termasuk pentadbir di jabatan pendidikan, para pentadbir sekolah, staf sokongan dan penjaga atau ibu bapa. Ia mestilah dianggap tanggungjawab bersama dalam mendidik anak bangsa kita.
Diantara kepentingan perkembangan profesional di sekolah sebagaimana yang disarankan oleh Anna Cratt (1996) ialah ia dapat membaiki kemahiran prestasi kerja guru, membaiki ketrampilan, menambah pengalaman untuk perkembangan kerjaya atau untuk naik pangkat, membina pengetahuan profesional dan pemahaman seorang guru, meningkatkan peribadinya, menghargai sumbangan guru, memberi kepuasan dari segi ikhtisas, meningkatkan kefahaman guru, membolehkan guru menjangka dan bersedia untuk berubah dan memperjelaskan polisi sekolah dan jabatan guru. Untuk membangunkan profesional guru perlu dibuat dengan usaha yang teliti dan berhati-hati. Ini kerana, kita tidak mahu usaha kerajaan yang mengguna dana yang banyak tidak mendapat hasil yang sepatutnya.

 

© 2014 All rights reserved.

Make a free websiteWebnode