MENJANA MINDA GURU YANG KREATIF & INOVATIF

Diskusi 4: perincikan sumbangan khulafa` al-Rasyidin, Saidatina Khadijah r.a, saidatina aisyah r.a dan imam-imam mazhab  dalam konteks ketamadunan keilmuan.

Topic: Diskusi 4

Date 17/10/2013
By Fathi Hakimi
Subject "Sumbangan Saidina Umar dalam bidang Pendidikan"

Sumbangan Khalifah Umar dalam bidang pendidikan memang tidak boleh dipandang ringan dan dipandang begitu sahaja. Beliau telah mendirikan pusat- pusat pengajian Islam di kota- kota Basrah, Kufah, Fustat dan sebagainya. Guru- guru agama telah dihantar ke pusat- pusat ini sedangkan imam- imam pula dihantar ke masjid- masjid.

Asas pendidikan Islam yang disebarkan oleh mubaligh dan para ulama’ pada zaman Umar pastinya berasaskan dan berteraskan Al- Quran dan Hadis. Begitu juga masalah rukun- rukun Islam, Iman, Ihsan dan seumpamanya yang mendasari kehidupan umat Islam. Inilah di antara isu- isu yang dibicarakan oleh para ulama’ ketika mengembangkan Islam sama ada di zaman Umar atau zaman sekarang.

Wallahu'alam

Date 17/10/2013
By Mohamad Radi bin Rahim, Mohd Khairul Anuar bin Sahimi
Subject "Imam Syafie ilmuwan terulung"

Bismillah..Assalamualaikum w.b.t

Sumbangan Imam Syafie dalam Perkembangan Ilmu

Nama sebenarnya ialah Abu Abdullah Muhammad bin Idris.Beliau digelar "As-Syafie" sempena nama datuknya, Syafie bin Saib. Imam Al-Syafie dilahirkan pada tahun 150 Hijrah bersamaan dengan 767 Masihi di Ghazzah, Palestin.Beliau berasal dari keturunan Rasulullah s.a.w. pada sebelah datuknya, Abdul Manaf (datuk ketiga Nabi Muhammad s.a.w. adalah datuk kesembilan

Imam as-Syafie adalah seorang imam mazhab yang empat, iaitu pengasas "Mazhab Syafie".Imam as-Syafie meninggal dunia pada tahun 204 Hijrah bersamaan dengan 820 Masihi ketika berusia 54 tahun dan dikebumikan di Arafah, Mesir.

Imam as-Syafie seorang yang berpandangan jauh, berhati mulia dan bercita-cita tinggi.Beliau berusaha dengan gigih dalam menuntut ilmu pengetahuan.Beliau bersikap sederhana dalam semua segi, sama ada dalam tingkah laku,berpakaian atau cara makan.Beliau juga merupakan seorang yang bijak berbicara hinggakan dirinya terlepas daripada hukuman pancung.Beliau sangat menghormati dan memuliakan para guru yang mengajarnya.Beliau sangat cinta kepada ilmu pengetahuan. Usia remajanya dihabiskan dengan menuntut ilmu pengetahuan yang memberi manafaat.

Imam as-Syafie mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam
berbagai-bagai bidang.Imam as-Syafie seorang hartawan yang sangat pemurah. Beliau sentiasa menolong orang yang memerlukan bantuan.

Pendidikan

Imam as-Syafie rahimahullah mempunyai ketajaman akal fikiran yang luar biasa sejak kanak-kanak lagi. Ketika berusia sembilan tahun,beliau hafaz
Al-Quran. Diwaktu berumur dua belas tahun, beliau telah dapat menghafaz kitab Al-Muattok, karangan Imam Malik dan seterusnya berguru dengan Imam Malik ketika berusia dua puluh tahun. Imam as-Syafie belajar dan mendalami bahasa dan kesusasteraan Arab sehingga mahir dalam bidang penulisan.

Beliau menghabiskan usia remajanya dengan menghadiri kelas-kelas pengajian agama di Masjidil Haram. Imam as-Syafie bermusafir ke Makkah, Madinah, Yaman, Iraq dan negara-negara lain dengan tujuan untuk menuntut ilmu. Antara ilmu-ilmu yang dipelajarinya termasuklah ilmu hadis, ilmu fikah dan Al-Quran.

Imam as-Syafie sangat mengutamakan pengetahuan dan disiplin. Beliau
membahagikan waktu malamnya kepada tiga bahagian:
i.1/3 malam untuk berehat.
ii.1/3 malam untuk menulis ilmu pengetahuan.
iii.1/3 malam untuk beribadat.

Imam as-Syafie berusaha dengan gigih dalam menuntut ilmu. Akhirnya, beliau muncul sebagai imam besar yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan dapat memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada umat Islam.

SUMBANGAN yang dilakukan oleh beliau ialah, Imam as-Syafie adalah ulama mujtahidin yang berpegang kuat pada Al-Quran, hadith, Ijmak Ulama, Qias dan Masolih Al-Mursalah. Pendapat Imam as-Syafie diterima oleh sebahagian besar orang-orang Islam kerana segala fatwanya sesuai dengan suasana, masyarakat dan adat resam sesuatu kaum.

Antara kitab-kitab karangannya yang termashyur termasuklah bidang dalam usul fikah; kitab yang membicarakan dengan jelas tentang cara mengambil hukum daripada Al-Quran dan hadis. Kitab-kitab tersebut ialah:

a.Abtal Al-Istihsan.
b.Ahkam Al-Quran.
c.Ar-Risalah.

Dalam bidang fikah; kitab yang membicarakan hukum-hukum fikah. Kitab
tersebut ialah;

i.Al-Mukhtasar Al-Kabir.
ii.Al-Mukhtasar as-Saghir.
iii.Al-Farid.
iv.Al-Umm.

Dalam bidang hadis; beliau telah menyusun sebuah kitab menjelaskan tentang perselisihan hadis-hadis nabi. Kitab-kitab tersebut ialah;

i.Al-Masnad.
ii.Al-Amali.
iii.Ikhtilaf Al-Hadis.

Selain itu, beliau juga telah menghasilkan berbagai-bagai jenis kitab dalam
bidang ilmu tafsir, akhlak, ilmu falak, ilmu kedoktoran dan lain-lain yang memberi sumbangan yang besar kepada ahli fikir Islam.

Mazhab as-Syafie berkembang dengan pesat di Afrika Utara, Mesir, Indo China, Singapura dan Malaysia.

Sekian, Wallahualam.

Date 17/10/2013
By Mohamad Nazir bin Azlan
Subject Sumbangan Saidina Umar

Menggalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran

Saidina Umar dilahirkan di Makkah. Bapanya bernama Khattab bin Naufal bin Abdul Uzza. Beliau dikatakan terdiri daripada golongan kelas pertengahan. Sewaktu kecilnya beliau pernah mengembala kambing dan pada zaman dewasanya beliau berniaga dengan berulang-alik ke Syam membawa barang dagangan. Beliau juga berilmu, perkara yang amat jarang berlaku pada masa tersebut, dan juga merupakan seorang pejuang dan wira yang gagah dan terkenal kerana kegagahannya.

Pelbagai langkah telah dilakukan oleh Khalifah Umar untuk mengembangkan pelajaran al-Quran. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam. Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu didalam al-Quran bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan ini akan diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu usaha untuk menggalakkan menghafal kandungan al-Quran.

Date 17/10/2013
By Intan Munirah binti Mohd Nordin
Subject "Keajaiban Ihya Ulumuddin"

Bismillah.. :)

Berdasarkan pembacaan saya melalui kitab (Intipati Ihya Ulumuddin, Pengajaran bagi orang-orang Mukmin Imam Al-Ghazali) hasil ringkasan daripada kitab Ihya Ulumuddin hasil tulisan Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi, banyak perkara-perkara baru yang dapat kita perolehi dari kitab ini dalam usaha meningkatkan diri mencapai darjat mukmin.

Antaranya kitab ini menerangkan tentang "Keajaiban Ihya Ulumuddin" yang dikarang oleh Imam Al-Ghazali. Justeru, kitab ini merupakan salah satu SUMBANGAN BESAR Imam Al-Ghazali kepada umat islam.

Kitab ini sangat terkenal dalam kalangan umat islam. Banyak mutiara yang terkandung di dalamnya, berbagai tafsiran beliau mengenai persoalan hidup yang didasarkan pada Al-Quran dan As-Sunnah Nabi. Kupasannya lebih banyak bertumpu kepada masalah pembinaan diri dan akhlak berkenaan dengan ibadat, munakahat dan muamalat.

'Ihya Ulumuddin' ertinya menghidupkan kembali ilmu-ilmu agama adalah sebuah kitab Imam Ghazali yang sangat terkenal di antara karangan-karangannya yang lain. keistimewaan kitab ini bermula sejak waktu menyusunnya lagi. Al-Ghazali menyusun Ihya Ulumudin dalam sebuah masjid Umawi dengan mengambik tempat di sebuah sudut masjid tersebut, kerana didalam masjid inilah terdapat perpustakaan yang besar dalam Daulat Islam.

Sepanjang masa penyusunan, Al-Ghazali terus menerus mengendalikan nafsunya dengan kehidupan yang sangat sederhana, makan dan minum sedikit, berpakaian kasar, mengunjungi masjid-masjid dan lain-ain perkara yang diredhai Allah. Apabila telah selesai kitab yang setebal empat jilid besar itu, dia kembali ke Baghdad dan mengadakan majlis penerangan mengenai kandungan kitab Ihya Ulumudin.

Apabila kitab tersebut beredar banyak tanggapan, sanjungan dan kritikan yang datang, sama ada semasa hidup Al-Ghazali atau sesudah wafatnya, bahkan sehingga abad kedua puluh kitab tersebut masih menjadi bahan kajian para cendekiawan.

Pengiktirafan Dunia

Seluruh dunia mengakui akan kehebatan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali. bukan saja dari kalangan tokoh-tokoh agama islam yang mengadakan pengkajian dan ulasan terhadap kitab ihya nya, tapi dari kalangan kaum oreantalis juga mengakui kehebatannya, Ds. Zwemmer salah seorang pakar ketimuran berbangsa British memasukkan Imam al-Ghazali sebagai salah seorang dari EMPAT manusia hebat sejak mulai zaman Rasulullah s.a.w. sehingga sekarang. Mereka itu adalah :

1. Nabi Muhammad s.a.w
2. Imam Al-Bukhari, ulama hadis terbesar
3. Imam Al-Asy'ari, ulama Tauhid yang termashyur
4. Imam Al-Ghazali pengarang kitab Ihya Ulumuddin yang terkenal

Oleh yang demikian, mudah-mudahan buku Ihya Ulumuddin dapat menjadi petunjuk yang praktikal dalam mengharungi hidup dan mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Insyaallah. Wallahua'lam. ^_^

Date 17/10/2013
By Norfazilah binti Shariff
Subject Sumbangan Imam al-Ghazali

RIWAYAT HIDUP IMAM AL-GHAZALI

Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Muhammad At-Thusi Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali. Beliau dilahirkan di Thus pada tahun 450 Hijrah (1058M). Beliau berasal daripada keluarga yang sederhana. Bapanya seorang yang tidak berpelajaran dan bekerja sebagai penenun wool dan dijual dikedainya di Thus. Sebagai bapa, beliau mahu anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. Beliau tidak mahu anak-anaknya mengikut jejak langkahnya. Menjelang saat kematian, bapanya telah mewasiatkan Al-Ghazali dan seorang saudaranya iaitu Ahmad kepada seorang ahli sufi yang merupakan sahabat beliau. Bapanya juga berpesan kepada ahli sufi supaya menjaga dan memberi pendidikan sehingga habis harta peninggalannya nanti. ( Ibrahim, 1985 : 1)

Setelah bapanya meninggal dunia, Al-Ghazali dan Ahmad pun tinggallah bersama ahli sufi. Ketika bapanya meninggal dunia Al-Ghazali masih kecil lagi. Ahli sufi tersebut telah menjaga dan mengajar kedua-duanya sehingga habis harta peninggalan bapa Al-Ghazali. Setelah habis harta peninggalan, ahli sufi sudah tidak mampu lagi untuk membiayai mereka berdua, lalu beliau meminta mereka untuk menuntut di sekolah supaya keperluan peribadi mereka terjaga. Al-Ghazali akur dengan permintaan ahli sufi dan dengan sebab itulah yang membawa kepada kebahagiaan dan ketinggian darjat mereka berdua. (Ibrahim, 1985 : 1)

Sejak kecil lagi Al-Ghazali telah merantau ke serata tempat untuk mempelajari pelbagai ilmu daripada ramai guru. Pertamanya, di negeri Thus, beliau telah mempelajari beberapa tajuk daripada ilmu fiqh dengan Imam Al-Radzakani, kemudian beliau ke Jurjan untuk belajar dengan Imam Al-Abi Nash Al-Isma’ili. Selepas itu beliau kembali semula ke Thus. Kemudian Al-Ghazali datang ke ‘Nisabur’ dan telah mendekati Imam Al-Haramain Abu Ma’ali Al-Juwaini (419-478 Hijrah). Beliau telah belajar bersungguh-sungguh dan berijtihad sehingga mahir alam mazhab (Syafi’i), perselisishan, debat, usuluddin, usul fiqh, mantiq, membaca hikmah dan falsafah. Beliau juga menyusun kitab-kitab dari pelbagai aspek ilmu yang telah dipelajari dengan susunan yang baik. (Ghazali, 2002 : 2)

AL-GHAZALI DAN ILMU KALAM

Al-Ghazali memberi sumbangan yang cukup besar dalam ilmu Kalam. Beliau telah mengarang begitu banyak penulisan dalam ilmu Kalam. Dalam penulisan beliau, Al-Ghazali banyak mematahkan hujah-hujah daripada pihak yang keterlaluan ketika membahaskan isu-isu yang timbul daripada perbincangan ilmu Kalam. Ilmu kalam sudah pun berkembang dengan baik bagi mempertahankan dan membela akidah ahli as-Sunnah sebagaimana yang terdapat dalam al-Irsyad iaitu salah satu kitab karangan Imam al-Haramain guru Imam Al-Ghazali. Pernah disebut dalam sejarah, Imam Al-Ghazali tidak menyukai majlis-majlis perdebatan berkaitan ilmu Kalam. Jika dijemput ke majlis seperti itu, beliau hanya berdebat dengan menggunakan metadologi Rasulullah dan para sahabat. Beliau berpendapat perdebatan yang berasaskan kepada hujah akal tanpa berpaksikan kepada sumber primer iaitu Al-Quran dan As-Sunnah hanya akan menambahkan lagi kerisauan dan kecelaruan dalam masyarakat ketika itu. (Ibrahim, 1985:17)
Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin ketika membincangkan berkaitan dengan teori dan konsep ilmu tidak meletakkan ilmu Kalam sebagai satu ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat. Bahkan beliau menganggap sesiapa yang keterlaluan membicangkan isu-isu yang berkaitan dengan sifat dan perbuatan Allah adalah termasuk dalam golongan orang yang melakukan bid’ah di dalam Islam. Beliau mengatakan ilmu Kalam tidak bermanfaat kepada manusia kerana dua sebab iaitu pertamanya ilmu ini tersimpang jauh dari matlamatnya yang utama iaitu mengenal Allah. Keduanya, perbincangan ahli ilmu Kalam terlalu jauh sehingga menyimpang daripada apa yang dibincangkan oleh para ulama’ salaf. Di antara kitab-kitab yang dikarang tidak ada satu pun yang beliau benar-benar menolak terhadap ilmu ini, malah dalam al-Munqidh beliau ada mengatakan "aku sendiri juga ada mengarang kitab-kitab mengenai ilmu Kalam ini dengan kehendakku. Aku dapati ilmu Kalam ini dapat memenuhi tujuannya tetapi tidak dapat memenuhi tujuanku”. (Ghazali, 2002 : 10)

AL-GHAZALI DAN ILMU FALSAFAH

Pada mulanya, beliau langsung tidak mengetahui berkaitan dengan ilmu falsafah. Namun, atas rasa tanggungjawab untuk membela agama Allah, beliau telah mempelajari ilmu falsafah dengan semangat dan ketekunan yang tinggi. Imam Al-Ghazali menyedari bahawa musuh-musuh Islam menggunakan ilmu falsafah sebagai senjata utama melemahkan pegangan umat Islam, beliau pun bangun menentang hujah-hujah golongan tersebut. Beliau telah mengkaji penulisan-penulisan yang berkaitan dengan ilmu falsafah secara individu tanpa berguru dengan mana-mana guru falsafah yang terkenal kerana beliau sibuk mengajar ilmu-ilmu agama. (Ibrahim, 1985 : 22). Al-Ghazali memberikan sumbangan yang amat besar dalam bidang ini khususnya meneroka bidang baru berkaitan falsafah Islam. Al-Ghazali telah membahagikan golongan yang membahaskan falsafah kepada tiga golongan. Pertama, golongan atheis iaitu golongan yang mengingkari kewujudan pencipta yang mentadbir seluruh alam ini. Golongan kedua ialah natural iaitu golongan ilmuan yang banyak mengkaji berkaitan tabiat, kejadian dan anatomi manusia, tumbuhan serta haiwan. Golongan ini mendakwa tidak akan dihidupkan selepas mati dan mereka menafikan adanya hari akhirat. Golongan ketiga pula golongan theologi yang terdiri daripada ahli theologi iaitu ahli yang membincangkan soal-soal ketuhanan sepeerti Plato, Aristotle dan Sukratus. Mereka membahaskan perkara-perkara yang berkaitan tuhan dengan bersumberkan akal. Ilmu falsafah terbahagi kepada enam iaitu Matematik, Logik, Fizik, Metafizik, Politik dan etika. Antara penulisan terkenal Al-Ghazali dalam bidang falsafah ialah Maqasid Al-Falasifah, Al-Munqiz Min Aldhalal dan Tahafuut Al-Falasifah. (Ibrahim, 1985 : 26).

AL-GHAZALI DAN ILMU TASAWWUF

Apabila melibatkan diri menjadi sebahagian daripada ahli sufi, beliau sekali lagi membersihkan tasawwuf daripada perkara-perkara khurafat dan daripada perkara yang terkeluar daripada pengamalan agama Islam yang sebenar. Dalam bidang tasawwuf, Al-Ghazali mempunyai guru antara yang termashur ialah Al-Junaid dan Al-Muhasibin. Apabila Al-Ghazali mengetahui masyarakat melakukan kesalahan dalam bidang tasawwuf, beliau akan melemparkan kritikan yang membina yang bertujuan untuk membetulkan kesalahan dan menghalang daripada penyelewengan yang berlaku sehingga mencemarkan kemurnian Islam. (Ghazali, 2002 : 30). Antara penulisan terkenal Al-Ghazali dalam bidang tasawwuf ialah kitab Ihya’ Ulumuddin. Kitab ini telah membincangkan tentang kebangkitan ilmu-ilmu agama dan merupakan kitab yang terkenal hasil karangan beliau hingga ke hari ini. Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain seperti Bahasa Melayu, Parsi, Urdu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis. Selain itu, kitab ini menjadi sumber rujukan para ulama’ di rantau alam Melayu. Antara pendorong Al-Ghazali menulis kitab ini ialah kerana kesedarannya yang amat tinggi terhadap penyelewengan teori dan konsep fiqh serta tasawwuf ialah dengan merujuk kepada sumber primer iaitu al-Quran dan Sunnah. Kemudian para sahabat dan tabi’in. Setelah merujuk kepada sumber primer dan sekunder, barulah Al-Ghazali mengutarakan pemikirannya terhadap konsep yang ditulisnya. (Ibrahim, 1985 : 55) Kehadiran kitab Ihya’ Ulumuddin memberi implikasi besar dalam pengajian tasawwuf. Sumbangan ini adalah cukup besar dalam bidang tasawwuf kerana Al-Ghazali telah memurnikan semula ilmu tasawwuf daripada kesesatan dan bid’ah.

Kesimpulannya, setelah mengkaji dan mengetahui tentang Imam Al-Ghazali, saya berasa amat kagum dengan ketokohan Imam Al-Ghazali sebagai Hujjatul Islam dan Pembaru dalam kurun ke-5. Ternyata tiada siapa yang mampu untuk mengatasi beliau dari sudut ilmu dan pengalaman pada zaman itu. Telah dinyatakan sebelum ini bahawa beliau bukanlah seorang penuntut ilmu yang hanya mampu mempelajari sesuatu ilmu daripada guru kemudian menulis dan menghafalnya sahaja, bahkan beliau telah pergi jauh sehingga mampu untuk mencungkil dan mengorek segala permasalahan dan segala kepincangan dalam sesuatu bidang ilmu itu. Selain itu, apabila Al-Ghazali mendalami sesuatu bidang pengetahuan sudah pasti belilau menjadi seorang yang menguasai bidang tersebut dengan izin Allah mengatasi cerdik pandai yang telah lama berada dalam bidang tersebut. Ini dapat dibuktikan dalam setiap ilmu yang diceburinya sentiasa ada pemikiran-pemikiran baru yang bersifat pembaharuan atau pengembangan konsep yang dikemukan oleh ilmuan yang terdahulu sebelumnya. Sekiranya baliau masih ada pada zaman ini, beliau pasti menjadi seorang tokoh ilmuan yang sangat hebat dari sudut ilmu dan pengalaman. Dengan kecanggihan ilmu teknologi dan komunikasi serta pemerolehan maklumat tanpa sempadan kini pasti akan digunakan sepenuhnya oleh beliau umtuk menggali segala ilmu dan pengetahuan tanpa terhenti dalam satu bidang sahaja sebagaimana yang ada pada tokoh ilmuan masa kini. Tidak mustahil dengan kecanggihan ilmu yang ada, beliau mampu menulis lebih banyak buku hasil gabungan pengajian Islam dengan bidang-bidang lain seperti ekonomi, sosial, politik, hubungan antarabangsa, geografi, sains dan bidang-bidang lain. Pada zaman teknologi sekarang susah untuk kita menemui tokoh ilmuan yang sama seperti Imam Al-Ghazali. Beliau telah memberi sumbangan yang amat besar dalam agama Islam. Begitu banyak pengorbanan yang telah beliau lakukan kepada umat Islam pada zaman beliau tetapi masih boleh digunakan sehingga sekarang. Kata Al-Alif As-Syadzali : "Aku pernah melihat Rasulullah SAW dalam mimpi, beliau membanggakan Al-Ghazali kepada Nabi Isa dan Nabi Musa. Beliau bersabda : "Apakah di kalangan kamu berdua ada orang seperti Ghazali?”. Nabi Isa dan Musa menjawab : "Tidak ada”.

Sebagai umat nabi Muhammad, kita juga patut berbangga dengan Imam Al-Ghazali kerana mempunyai tokoh ilmuan seperti beliau.

Date 17/10/2013
By Amirah Tarmizi
Subject Sumbangan Saidatina Aisyah dalam Bidang Keilmuan

Assalamualaikum...

Sumbangan Saidatina Aisyah bt Abi Bakr =)

1) Saidatina Aisyah hidup selama hampir lima puluh tahun setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. Sepuluh tahun hidup beliau sebagai isteri Rasululluah. Sebahagian besar waktu itu diluangkan dengan mempelajari dua sumber penting petunjuk Allah, iaitu al-Quran dan sunnah Rasulullah. Tiga orang daripada isteri-isteri Rasulullah yang menghafaz al-Quran, dan salah seorang daripadanya adalah Aisyah r.a.(di samping Ummu Salamah dan Hafsah). Seperti Hafsah, Aisyah juga mempunyai salinan al-Quran yang ditulis setelah kewafatan Rasulullah.

2) Saidatina Aisyah merupakan salah seorang daripada empat orang sahabat (termasuk Abu Hurairah, Abdullah ibn Umar dan Anas Ibn Malik) yang meriwayatkan lebih dua ribu hadith. Kebanyakan hadith-hadith ini berkaitan amalan-amalan peribadi Rasulullah yang hanya mampu diketahui oleh Aisyah r.a. Satu aspek penting berkenaan hadith yang diriwayatkan Aisyah ialah hadith-hadith tersebut disampaikan dalam bentuk tulisan oleh anak saudara beliau, Urwah ibn az-Zubair yang merupakan salah seorang ulama’ terkenal di kalangan tabi’in.

3) Ramai dalam kalangan para sahabat Rasulullah yang menimba ilmu pengetahuan daripada Aisyah r.a. Abu Musa al’Ashari pernah berkata: ‘Sekiranya kami di kalangan sahabat Rasulullah menghadapi kemusykilan, maka akan kami bawa kepada Saidatina Aisyah r.a.’

4) Urwah ibn az-Zubair menegaskan bahawa Aisyah bukan sahaja arif dalam bidang fiqh, bahkan juga dalam bidang tibb(perubatan) dan syair. Ramai di kalangan sahabat baginda Rasulullah turut merujuk kepada Saidatina Aisyah berkenaan masalah pewarisan harta yang memerlukan kemahiran tinggi dalam bidang matematik.

5) Para ulama menganggap Saidatina Aisyah sebagai salah seorang ahli fuqaha Islam terawal di samping Umar Ibn al-Khattab, Ali dan Abdullah ibn Abbas. Kata baginda Rasulullah tentang dalamnya pengetahuan Aisyah dalam Islam: "Pelajarilah sebahagian daripada agamamu dari al-Humaira", 'Al-Humaira' atau 'si merah' adalah nama panggilan Rasulullah kepada Saidatina Aisyah r.a.

6) Saidatina Aisyah r.a. bukan sahaja memiliki ketinggian ilmu pengetahuan, bahkan turut memainkan peranan penting dalam proses pendidikan dan pembentukan masyarakat ketika itu. Sebagai seorang guru, beliau memiliki lisan yang jelas dan menarik hati serta kelancaran bertutur kata beliau digambarkan dengan begitu tinggi oleh al-Ahnaf: "Aku pernah mendengar ucapan dari Abu Bakar dan Umar, dari Uthman dan Ali serta para khulafa’ hingga ke hari ini, tetapi belum pernah aku mendengar ucapan yang lebih indah dan lebih menarik hati dari mulut seorang pun melainkan Aisyah r.a."

7) Manusia dari segenap pelusuk tanah Arab telah pergi menemui Aisyah untuk mempelajari ilmu yang dimilikinya. Dikatakan lebih ramai bilangan wanita daripada lelaki yang datang untuk menimba ilmu daripada beliau. Di samping menjelaskan kemusykilan orang ramai, beliau turut mengambil anak-anak kecil, ada di kalangan mereka yatim piatu, untuk dibesarkan dan dilatih di bawah bimbingannya sendiri. Di samping itu juga terdapat saudara-saudara beliau yang mendapat bimbingan yang sama. Dengan demikian, rumah Saidatina Aisyah r.a. dijadikan sekolah dan sebuah institusi pengajian.

8) Ada di kalangan anak-anak didikan Aisyah yang cemerlang di bawah pimpinan beliau. Sudah disebut sebelum ini tentang anak saudara lelaki beliau iaitu Urwah ibn az-Zubair sebagai salah seorang perawi hadith terkemuka. Di antara pelajar wanita didikan Aisyah ialah Umrah binti Abdur Rahman. Umrah dianggap oleh para ulama’ sebagai seorang perawi hadith yang thiqah dan dikatakan bertindak sebagai setiausaha Aisyah r.a dalam menerima dan menjawab surat-surat yang diterima Aisyah. Peranan Saidatina Aisyah dalam menggerakkan proses pendidikan terutamanya bagi kaum wanita seharusnya dijadikan contoh ikutan. Insyaallah =)

Date 17/10/2013
By Nurulhuda Ariff
Subject Sumbangan Imam Mazhab Dalam Tajdid Pendidikan

Bismillah.

1. IMAM ABU HANIFAH
Tokoh-tokoh ulama silam seperti Imam Abu Hanifah (699-767 Masihi) telah menjelaskan kepada umat Islam waktu itu perlunya kurikulum pendidikan yang relevan dengan keadaan semasa bagi membolehkan para pelajar menangani persoalan zamannya.

Beliau tidak mahu terikat dengan kurikulum yang jumud (statik). Para pelajar mestilah diberikan persiapan yang membolehkan mereka menyahut cabaran semasa. Tetapi implikasinya, Abu Hanifah telah dikecam dan dikritik hebat oleh ulama lain yang menganggap beliau cuba mengada-adakan sesuatu yang belum pernah dilakukan pada zaman sahabat Rasulullah.

Tajdid (pembaharuan) dalam kurikulum pendidikan dilaksanakan oleh Abu Hanifah demi memastikan ilmu pengetahuan yang dipelajari oleh para pelajar berkait rapat dengan realiti kehidupan semasa.

Menurut beliau, syariat Islam bertujuan menyelesaikan masalah masyarakat, bukannya terasing dari masyarakat. Maka kaedah Qiyas, Ijtihad dan Istihsan menjadi sumber-sumber bagi mengistinbat (mengeluarkan rumusan) hukum dalam mazhab Hanafi yang dipimpin oleh Abu Hanifah dan muridnya Muhammad Ibn al-Hasan kerana mereka mahu hukum Islam yang terhasil adalah berasaskan kemaslahatan (kepentingan) dan realiti tuntutan semasa masyarakat.

2. IMAM SYAFI'I
Imam Syafi’i (767-854 Masihi) juga turut melaksanakan reformasi pendidikan agar lebih progresif dan berkesan. Beliau tidak mahu membataskan pengajaran ilmu kepada bidang Akidah dan Syariah sahaja. Malah beliau menyarankan agar ilmu sains dimasukkan ke dalam silibus pendidikan.Walaupun Imam Syafi’i lebih dikenali sebagai ulama fiqh, namun beliau memberi sumbangan yang tidak kurang hebatnya dalam bidang perubatan, astronomi, sastera dan sejarah. Dalam kurikulum pengajarannya, beliau telah memasukkan ilmu kemahiran memanah dan menunggang kuda, malah kemahiran beliau sendiri dalam memanah dan menunggang kuda amat dikagumi.

3. IMAM MALEK
Imam Malik (714-798 Masihi) sebelum itu pun telah berinisiatif menghubungkan di antara kesesuaian kurikulum dengan keperluan semasa masyarakat Madinah. Oleh sebab itu, apabila Khalifah Abu Ja’afar al-Mansur mengarahkan supaya kitabnya al-Muwatta’ dijadikan rujukan utama dalam masalah fiqh dan hukum di seluruh wilayah pemerintahan baginda, maka Imam Malik tidak dapat menyetujuinya atas alasan bahawa setiap negeri-negeri Islam wajar mengambil kira persoalan tempatan dan kondisi semasa seperti keadaan iklim, geografi, adat tradisi (budaya), sosial masyarakat dan sebagainya.

4. IMAM AL-GHAZALI
Imam al-Ghazali adalah antara ulama pembaharu yang mendalami pelbagai bidang sama ada akademik, agama, politik, sosial dan tamadun zamannya. Beliau bangun mengkritik pengaruh falsafah Greek yang begitu mempengaruhi umat Islam ketika itu. Beliau menulis karya-karya agung dan membongkar faktor penyelewengan teori falsafah itu sambil mengajak umat Islam kembali kepada al-Quran dan Sunnah.

*Tambahan- ULAMA KONTMPORARI
Antara ulama kontemporari yang melaksanakan tajdid berorientasikan pendidikan dan ilmu pengetahuan ialah Jamaluddin al-Afghani (1838-1897M), Muhammad Abduh, Badi’uzzaman Sa’id Nursi (m. 1960), Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi (1914-1999M), Hasan al-Banna, Malik bin Nabi, Muhammad Iqbal, Sayyid Qutb, Abu A’la al-Maududi, Muhammad al-Ghazali, Yusuf al-Qaradhawi dan ramai lagi.

Date 17/10/2013
By Amir Hamzah Bin Mohamad Dan Shamil Azwan Sahari
Subject Imam Abu Hanifah Pelopor Ilmu Faraid.

Riwayat Hidup

a.Beliau dilahirkan pada tahun 80 Hijrah bersamaan dengan 699 Masihi di Kufah semasa
pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan.

b.Nama sebenarnya ialah An-Nukman bin Thabit.

c.Imam Abu Hanifah rahimullah berasal daripada bangsa Parsi.

d.Beliau digelar "Abu Hanifah" kerana beliau sentiasa bersama tinta untuk mencatat ilmu
pengetahuan yang dipelajarinya.

e.Imam Abu Hanifah meninggal dunia pada tahun 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi di dalam penjara
ketika berumur 70 tahun dan dikebumikan di Baghdad.

f.Beliau adalah pengasas "Mazhab Hanafi".


Sifat2 Peribadi

a.Imam Abu Hanifah mempunyai ilmu pengetahuan yang amat tinggi.

b.Beliau berani menghadapi segala bentuk cabaran untuk menegakkan kebenaran.

c.Beliau juga suka menghulurkan bantuan kepada sesiapa saja yang memerlukan bantuan tanpa
mengira usia, pangkat dan darjat.

d.Imam Abu Hanifah seorang yang rajin berusaha dan bercita-cita tinggi dalam hidupnya.

e.Beliau seorang yang bertakwa kepada Allah S.W.T., warak, qana’ah dan tidak tamak pada harta
kekayaan.

f.Beliau juga seorang abid yang kuat beribadat dan berpegang teguh pada ajaran Islam.


Pendidikan

a.Sejak kecil, Imam Abu Hanifah berminat mempelajari ilmu pengetahuan.

b.Beliau sempat menuntut ilmu dengan beberapa sahabat nabi. Antaranya termasuklah Anas bin
Malik,Abdullah bin Abi Aufa, Sahal bin Abi Saad, Abdullah bin Al-Harith dan Abdullah bin Anas.

Date 07/10/2013
By Nurul Afiqah, Normaziah dan Muhsinah
Subject Imam As-Syafi'i :: Pencetus utama Ilmu Usul Fiqh

Nama penuh Imam As-Syafi'i ialah Abu Abdullah Muhammad Ibn Idris Ibn al-Abbaas Ibn ' Uthman Ibn Syaafi' lbn al-Sa' ib Ibn 'Ubaid Ibn Abd. Yazid Ibn al-Muttalib Ibn Abd Manaf, moyang kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sejak kecil lagi, ibu As-Syafi'i memindahkan anaknya itu ke Mekah, tempat di mana majoriti orang Quraisy berada ketika beliau masih berusia dua tahun. Di bumi Mekah, As-Syafi'i mula menuntut ilmu. la bermula dengan menghafal al-Quran yang mengambil tempoh yang singkat sahaja. Kemudian beliau menumpukan kepada penghafalan hadith pula.

Selepas itu, beliau melanjutkan pengajiannya di Mekah. Beliau mula belajar daripada para ulama tempatan. Tidak berapa lama di situ, beliau muncul sebagai ahli tafsir yang mahir, ahli fiqh yang matang dan pakar dalam bahasa, walaupun pada waktu itu usianya masih terlalu muda. Dengan keunggulannya itu, beliau mula mengajar orang ramai di Masjid al-Haram.

Kemasyhuran As-Syafi'i di Masjid al-Haram dan pembaharuan yang dicetuskan oleh beliau dalam metodologi fiqh dikenali sebagai ilmu usul fiqh. Beliau dikatakan sebagai orang pertama menyusun ilmu ini dan kemudiannya terus tersebar ke daerah-daerah lain termasuk Iraq. Para ulama pada keseluruhannya menyambut baik perkembangan baru di bidang fiqh itu . Kejayaan beliau mengasaskan satu disiplin ilmu baru yang dikenali sebagai "Usul al-Fiqh" itu kemudiannya telah meyakinkan As-Syafi'i untuk mengemukakan hasil penyelidikan beliau itu kepada para fuqaha yang lain. Bagi tujuan tersebut beliau memutuskan untuk pergi ke Baghdad, pusat perhimpunan para fuqaha pada waktu itu, sesudah Madinah tidak lagi memainkan peranan seperti itu selepas kematian Imam Malik pada tahun 179 Hijrah.

Apa yang jelas, beliau telah berjaya menghidupkan kembali pengajian As-Sunnah sebagai asas kepada pengajian fiqh. Sebelum itu As-Sunnah hanya dipelajari dari aspek periwayatannya sahaja. Pembaharuan yang dibawa oleh beliau itu telah berjaya mewujudkan satu suasana baru dalam dunia keilmuan di Baghdad pada waktu itu. Disamping berjaya mewujudkan satu dimensi baru kapada aktiviti keilmuan di kalangan para ulama hadith, beliau juga berjaya meredakan keterlaluan para fuqaha ahl al-Ra’y dalam mengemukakan hujah bagi mempertahankan pandangan mereka. Malah beliau berjaya mengasaskan satu metod baru yang bersifat kompromi di antara pandangan Ahl al-Hadis dan Ahl al-Ra’y. Asas-asas metodologi kepada fiqh beliau telah ditulis dalam al-Risalah, sementara mengenai fatwa beliau pula ditulis dalam bukunya al-Hujjah yang juga dikenali sebagai al-Mabsut.

Di Mesir, populariti beliau dalam bidang fiqh dan usul fiqh ini bertambah dengan cepat sekali. Dalam masa yang singkat sahaja, ramai orang yang menganuti mazhabnya. Ia bukan sahaja berlaku di Mesir, malah di segenap ceruk rantau dunia Islam pada waktu itu. Di sanalah juga Imam As-Syafi’i mengubah qaul beliau yang lama (qaul qadim) semasa di Baghdad kepada qaul yang baru (qaul jadid). Ia terkandung dalam karangan fiqh terulung beliau, Al-Umm. Ia merupakan renovasi dari kitab Al-Hujjah karangan lama beliau semasa di Baghdad.

Keterbukaan Imam As-Syafi’i dalam menerima apa saja bentuk ilmu menjadikan beliau begitu bersifat objektif dalam bidang keilmuan. Bukanlah suatu proses yang mudah untuk kekal menghormati keilmuan aliran hadith (madrasah al-Hadith) di samping melakukan anjakan paradigma di bawah pengaruh aliran pemikiran ( madrasah al-Ra’y). Malah lebih sukar lagi untuk melakukan kompromi antara kedua-duanya dalam suasana pertentangan pendapat yang tajam berasaskan mentaliti analisis yang benar-benar komprehensif. Paling sukar ialah untuk berurusan dengan masyarakat ilmuan yang terdiri daripada berbagai aliran yang boleh mengekalkan rasa hormat menghormati antara satu sama lain. Di kemuncak semua ini, beliau adalah seorang faqih yang mempunyai kefahaman yang sangat mendalam tentang syariat Islam. Maka, sumbangan Imam As-Syafi'i dalam ketamadunan keilmuan adalah sangat besar kerana beliau adalah pencetus utama ilmu Usul Fiqh.

Wallahu'alam..

Date 06/10/2013
By nor atika natasha.nur nashroh.nurnadiah bt razali
Subject IMAM AL-GHAZALI

Imam Al-Ghazali mula berminat mengkaji bidang pendidikan setelah berguru dengan Ali bin Ahmad al-Radzikani, Abu Nashr al-Ismaili dan Imam al-Haramain Abi al-Maali al-Juwairi. Beliau mendapat pendidikan asas dengan menghafal al-Qur’an, pelajari asas-asas membaca dan menulis, ilmu nahu bahasa arab, matematik, fiqah dan lain-lain lagi.

Imam Al-Ghazali mempunyai pandangan yang sangat bernas dalam bidang pendidikan dan pengajaran. Melalui pandangannya tentang perkara ini beliau telah menjelaskan kewajipan ibu bapa terhadap anak-anak mereka, di samping kewajipan murid dan juga guru berteraskan dasar kehidupan yang selari dengan teori-teori pendidikan moden. Dalam bidang pendidikan kanak-kanak, al-Ghazali memberikan peringatan bahawa ibu bapa perlu memandu anak-anak mereka ke arah suatu matlamat tertentu, bukan membiarkan anak-anak memilih sendiri bidang yang disukainya. Hal ini agak bercanggah dengan kecenderungan pendapat ahli-ahli pendidik sekarang, bahawa mereka lebih suka membiarkan anak-anak memilih sendiri bidang yang hendak diceburinya.

Menurut Imam al-Ghazali, sekiranya anak-anak dibiarkan memilih sendiri bidang yang digemarinya, berkemungkinan akan berlakunya pemilihan yang tidak tepat dan membawa perkara negatif dan buruk. Dengan sebab itu, beliau menekankan bimbingan ke arah pemilihan itu sangat penting lantaran anak-anak sangat terhad pemikirannya.

Imam Al-Ghazali berpandangan bahawa pelajar perlulah membersihkan diri atau jiwa daripada akhlak dan budi pekerti yang buruk serta sifat tercela, mengurangkan hubungan dengan kesibukan dunia, tidak boleh bermegah dengan pengetahuan yang dimiliki, dilarang membuat helah atau menipu guru, malah perlu melaksanakan suruhannya dan mematuhi nasihatnya, seperti kepatuhan seorang pesakit kepada doktornya. Bagi al-Ghazali, matlamat pengajian adalah untuk mendapat kesempurnaan diri/jiwa dan bertujuan melengkapkan/memperbaiki diri dengan sifat dan akhlak yang terpuji.


Guru atau pendidik pula mesti mempunyai perasaan kasihan belas kepada para pelajar, dan cuba mengasihi mereka seperti anak sendiri. Ketika menjalankan tugas guru seharusnya mengikut sifat Nabi Muhammad SAW dengan tidak meminta dan menentukan sebarang upah, malah tidak mengharapkan ucapan terima kasih, sebaliknya mengajar semata-mata kerana Allah SWT. Guru juga perlu mengukur kemampuan pelajar serta kefahaman mereka dan tidak memberikan sesuatu yang tidak boleh dicapai oleh otak atau fikiran mereka. Malah seseorang guru hendaklah beramal dengan ilmunya dan perbuatan tidak menyalahi percakapannya sendiri. Mereka tidak harus menasihatkan murid supaya tidak melakukan sesuatu, sedangkan mereka sendiri melakukannya. Ini akan memberi gambaran dan kesan buruk kepada pelajar terhadap guru serta hilang kepercayaan dan penghormatan terhadap mereka.


Wallahua'lam

 

© 2014 All rights reserved.

Make a free websiteWebnode