MENJANA MINDA GURU YANG KREATIF & INOVATIF

Fazakkir 1: Maqasid Ramadhan

Firman Allah SWT :

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kerana kita dipertemukan dengan bulan Ramadhan al-Mubarak, bulan penuh keberkatan, bulan rahmat, bulan keampunan. Ramadhan seringkali dikaitkan dengan ibadah puasa yang merupakan kewajipan syarie yang telah diperintahkan Allah kepada setiap mukallaf. Matlamat Ramadhan ialah menghasilkan mukmin yang produktif iaitu orang yang bertaqwa. Lantas Allah mengulang-ulang di ayat 183 surah al-Baqarah “mudah-mudahan kamu sentiasa bertaqwa”.

Perintah syarie yang ditaklifkan kepada generasi awal dakwah sebagaimana kepada umat sebelum mereka tidak sekadar berupa perintah hukum tetapi ditanggapi sebagai satu proses pentazkiyahan jiwa dan pentarbiyahan diri bagi melengkapkan kekuatan ruhi sebagai daie dan jundi dakwah.

Puasa bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa tetapi latihan kerohanian untuk mengajar para pejuang erti mentaati perintah Allah dan melaksanaknnya dengan sebaik yang mungkin untuk mencakna mukmin muttaqi. Inilah maqasid yang ingin dicapai melalui kefardhuan puasa.

Ikhwati fillah,

Kewajipan puasa pula hadir beriringan dengan pakej tarbiyah, tilawah dan tazkiyyah yang terkandung di dalam pakej Ramadhan. Segala amalan sunat seperti iktikaf, tadarus, terawih, qiamullail, infaq dan sedekah, memberi makan orang yang berbuka puasa menjurus ke arah membina jiwa daie dan jiwa pejuang yang tahan lasak dan uji.

Apatah lagi ia sinonim dengan bulan jihad dan perjuangan. Episod kemenangan demi kemenangan di dalam bulan Ramadhan seperti perang Badar, Fathu Makah, pembukaan Ain Jalut, pembebesan al-Quds adalah manifestasi mencapai maksud maqasid Ramadhan iaitu ketaqwaan sebagai senjata kemenangan.

Hari-hari yang kita lalui Ramadhan pada tahun ini penuh dengan episod duka dan lara. Kalau dahulu kita berdoa untuk kemenangan umat Islam di Palestin, Afghanistan, Chechnya dan Iraq tetapi koleksi album penderitaan umat Islam ditambah kepada nasib umat di Syria dan Rohingya. Terbaru kepada saudara-saudara kita di Mesir yang bergelut dalam berdepan dengan regim tentera yang zalim.

Malang juga menimpa umat Islam di Malaysia apabila penghinaan bukan Islam terhadap Islam seperti Alvin dan Vavian, sikap Duta Vatican City  yang menyokong penggunaan kalimah Allah menggambarkan kelemahan umat Islam dan hilang jati diri mereka di samping ruh ukhuwwah yang semakin pudar di kalangan ummah.

Pelajaran terbesar daripada fiqh Ramadhan ialah belajar makna maqasid. Memahami maqasid bermakna memahami tujuan dan visi perjuangan dan mencari asbab untuk mencapai maqasid tersebut.

Kemenangan di dalam perjuangan tidak ditentukan dengan faktor-faktor material semata-mata tetapi perlu mengambil asbab kepada kemenangan tersebut. Asbab itu ialah maqosid daripada Ramadhan iaitu nilai taqwa. Taqwa adalah pra-syarat kemenangan di dalam perjuangan. Allah menyatakan di dalam al-Quran di dalam ayat 200 Surah Ali Imran:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

Bagaimana untuk mendapatkan taqwa ? Taqwa terhasil dengan sikap sabar, sanggup menanggung kesusahan serta jiwa imani yang kental.

Imam Ibnu ‘Aroby  di dalam tafsirnya menghuraikan inti ayat di atas :

Sabar : menahan diri daripada menuruti  kehendak syahwat.

Musobaroh : berterusan menahan diri daripada menuruti syahwat dan melawannya

Murobatoh : janji yang diikat dengan sesuatu sehingga tidak ada rasa bakhil dan ia kembali kepada sifat sabar.

Perkara ini boleh ditafsirkan di dalam beberapa maksud iaitu :

  1. Bersabarlah atas tujuan demi agama, kemudian bertahanlah menanggung kesabaran terhadap janji-janji aku terhadap kamu dan kuatkanlah ikatan kamu berdepan musuh-musuh kamu.
  2. Bersabarlah di dalam berjihad, bertahanlah menanggung kesabaran terhadap musuh kamu dan ikatkanlah kuda-kuda tunggangan kamu.
  3. Bersabarlah di dalam jihad, bertahanlah menanggung kesabaran terhadap musuh kamu serta ikat dan mantapkan solat-solat kamu.

Erti ‘Murobatah’ di sini ialah memasang niat dan bersedia dari sudut fizikal untuk melaksanakan segala ketaatan. Seagung-agung ribat ialah mengikat kuda untuk berjihad di jalan Allah dan mengikat diri untuk terus melaksanakan solat-solat.

Ikhwati fillah..

Moga Ramadhan yang kita lalui mengajar kita makna erti pentingnya maqasid di dalam peta perjuangan. Perjuangan akan gagal jika hilang fiqh maqasid. Harakah lemah apabila tiada fiqh maqasid di dalam gerak amal dan gerak harakiy. Kefahaman yang mendalam ini meletakkan bahawa pra-syarat kejayaan perjuangan ialah memahami maqasid perjuangan Islam. Fiqh maqasid akan menunjangi perjuangan harakah dan meletakkannya berjalan mengikut marhalah (fasa-fasa). Tiada jalan pintas untuk menang tetapi memintaskan jalan kemenangan dengan memahami maqasid perjuangan. Semoga Ramadhan benar-benar menjiwai kehidupan kita sebagai pejuang fi sabilillah.

Ustaz Azizee Hassan

Sumber: https://www.ismaweb.net/v4/

© 2014 All rights reserved.

Create a website for freeWebnode