MENJANA MINDA GURU YANG KREATIF & INOVATIF

Diskusi 1:Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh seorang pendidik bagi mencontohi Rasulullah dan para sahabat dalam aspek cara mendidik.

Topic: Diskusi 1

Date 17/10/2013
By Mohd Khairul Anuar bin Sahimi & Mohamad Radi bin Rahim
Subject Teguran Mengikut Cara Nabi Muhammad saw

Assalamualaikum w.b.t.

Perkongsian daripada Blog Ustazah Siti Khadijah juga mengenai Teguran Mengikut Cara Nabi Muhammad saw. Sama-sama kita mengambil iktibar dan mengikuti teknik dan kaedah yang digunakan apabila berada di sekolah kelak. Insyaallah.

"Asma binti Abu Bakar pernah masuk ke tempat di mana Rasulullah sedang berada, waktu itu Asma memakai pakaian yang nipis. Rasulullah pun memalingkan mukanya daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita itu apabila dia sudah cukup umur, maka dia tidak boleh menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini," sambil beliau menunjukkan bahagian wajah dan telapak tangannya. "

1. Memakai pakaian yang diperbuat daripada kain nipis adalah kesalahan teknikal. Ia bukan kesalahan moral.

2. Asma adalah seorang perempuan yang baik akhlak atau moralnya. Hanya sahaja kain yang menjadi bahan bajunya itu nipis. Maka penyelesaiannya adalah dengan cara Nabi Muhammad memberitahu dia bahawa dia tidak boleh memakai pakaian yang nipis.

2. Hadith ini menunjukkan cara bagaimana Nabi Muhammad menegur perempuan yang memakai pakaian yang menampakkan aurat, yakni bahagian badannya yang perlu ditutup.

i. Nabi Muhammad menegur perempuan itu secara langsung, maknanya kata-kata teguran diucapkan terus kepada perempuan yang berkenaan sahaja. Kerana Asma yang memakai pakaian daripada kain nipis maka kepada Asma sahaja teguran itu diberikan.

ii. Teguran tidak boleh diucapkan secara tidak langsung, di mana perempuan lain yang melakukan kesalahan tetapi teguran itu diucapkan kepada perempuan-perempuan lain, umpamanya Asma yang memakai baju nipis tetapi Nabi Muhammad bercakap berkenaan baju nipis kepada Siti Aisyah, Fatimah, Habibah dan lain, bukan kepada Asma.

iii. Nabi Muhammad tidak mengirimkan teguran melalui orang perantaraan, ertinya disebabkan Asma yang melakukan kesalahan itu, maka Nabi Muhammad bercakap terus kepada Asma, bukannya menyuruh Aisyah supaya menyampaikan tegurannya kepada Asma.

iv. Teguran terhadap baju Asma itu tidak diucapkan oleh Nabi Muhammad di khalayak ramai secara umum, seperti dalam ceramah, dalam blog ataupun dalam Facebook.

v. Teguran Nabi Muhammad kepada Asma itu tidak diucapkan dalam bentuk sindiran.

3. Kesalahan tidak menutupi aurat dengan sempurna adalah jenis kesalahan personal yang tidak dikenakan hukuman di dunia, kerana hukumannya adalah di akhirat. Ia seperti kesalahan-kesalahan mengumpat, membuang masa, tidak menepati janji dan lain-lain.

4. Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad kepada Asma adalah memberi pendidikan, ataupun istilahnya tarbiyah.

5. Apabila menegur baju Asma yang nipis, bahasa yang digunakan oleh Nabi Muhammad semasa mendidik Asma adalah bahasa teknikal.

Justeru, Cara teguran yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. ini perlulah diikuti oleh para pendidik tambahan pula bagi guru pendidikan islam. Wallahualam.

Date 17/10/2013
By Mohamad Nazir bin Azlan
Subject Teknik Menyelesaikan Pergaduhan berdasarkan hadith Menjaga Perpaduan dalam Barisan Kepimpinan.

Bismillah. Assalamualaikum w.b.t

Teknik Menyelesaikan Pergaduhan berdasarkan hadith Menjaga Perpaduan dalam Barisan Kepimpinan.

Abdullah bin Abi Aufa melaporkan bahawa Abdul Rahman bin Auf pernah mengadu kepada Nabi Muhammad tentang Khalid al-Walid. Lalu Nabi Muhammad berkata kepada Khalid, "Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya." Khalid al-Walid pun berkata, "Wahai Rasul Allah, mereka menuduh saya, sedangkan yang dimaksudkan adalah mereka." Nabi Muhammad berkata, "Janganlah menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah 'azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir." - Hadith ini direkodkan dalam koleksi hadith-hadith autentik Ibn Hibban.

Dalam hadith ini, Nabi Muhammad menggunakan beberapa strategi bagi menyelesaikan pergaduhan yang berlaku di antara Abdul Rahman bin Auf dan Khalid al-Walid. Strategi tersebut ialah;

1. Mengalihkan pandangan kedua-dua pihak yang bermusuhan itu daripada melihat kelemahan dan kesalahan musuhnya kepada melihat kehebatan dan kemuliaan musuh. Ini dilakukan supaya perasaan benci-membenci dialihkan kepada perasaan saling hormat-menghormati dan kagum-mengagumi.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu kehebatan dan kemuliaan Khalid al-Walid kepada Abdul Rahman bin Auf, dan menerangkan kehebatan dan kemuliaan Abdul Rahman bin Auf kepada Khalid al-Walid.

Kepada Khalid al-Walid Nabi Muhammad berkata: "Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya."

Kepada Abdul Rahman bin Auf Nabi Muhammad berkata: "Janganlah menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah 'azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir."

2. Menukar perasaan sakit hati dan benci terhadap musuhnya kepada perasaan menghormati, memuliakan dan mengagumi musuhnya.

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad sama sekali tidak bertanya tentang apa yang sebenarnya telah berlaku sehingga menyebabkan 2 orang tokoh itu sakit hati dan berkonflik. Sebaliknya beliau menerangkan kehebatan masing-masing. Teknik yang beliau gunakan adalah menggantikan perasaan sakit hati kepada perasaan suka dan puas hati hasil menerima pujian daripada pucuk pimpinan.

3. Memperkenalkan peraturan interaksi sosial yang dikenakan ke atas kedua-dua belah pihak.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu Abdul Rahman bin Auf supaya tidak menyakiti Khalid dal-Walid, dan memberitahu Khalid al-Walid supaya tidak menyakiti Abdul Rahman bin Auf.

Tiga strategi yang terdapat di dalam hadith ini.

1. Mengalihkan pandangan kedua-dua pihak yang bermusuhan itu daripada melihat kelemahan dan kesalahan musuhnya kepada melihat kehebatan dan kemuliaan musuh. Ini dilakukan supaya perasaan benci-membenci dialihkan kepada perasaan saling hormat-menghormati dan kagum-mengagumi.

2. Menukar perasaan sakit hati dan benci terhadap musuhnya kepada perasaan menghormati, memuliakan dan mengangumi musuhnya.

3. Memperkenalkan peraturan interaksi sosial yang dikenakan ke atas kedua-dua belah pihak.

Justeru, teknik yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w ini adalah salah satu contoh teknik yang boleh kita aplikasikan semasa berada di sekolah kelak. Insyaallah. Wallahua'alam.

Date 17/10/2013
By Intan Munirah binti Mohd Nordin
Subject Teknik Pujian Gaya Nabi Muhammad :)

Bismillah..

Disini saya ingin berkongsi satu blog menarik yang mengaplikasikan teknik Nabi Muhammad dalam pengajaran di sekolah yang telah dicadangkan oleh pensyarah PIM3111 kami, ustazah Muazah bt Abu Samah. Perkongsian bersama.. https://ustazahsitikhadijah.blogspot.com/

Hadith rujukan: 'Pintu Langit Terbuka'
Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.

Ciri-ciri pujian Nabi Muhammad bersama contoh yang boleh kita aplikasikan semasa berada situasi di sekolah:

1. Pilih satu kebaikan yang dilakukan oleh orang itu dan berikan pujian serta-merta serta secara terbuka supaya pelajar-pelajar lain dapat mendengarnya.

Contoh :
Saya memuji Fathina dengan berkata, “Ustazah kagum, kamu berjaya menghafal teks cerita lengkap dengan ayat-ayat Al-Quran, nasyid, pantun, syair dan sajak…”

2. Pujian itu ditujukan kepada hasil kerja yang dilakukan oleh orang itu, bukan ditujukan kepada diri orang itu.

Contoh :
Pujian yang ditujukan kepada hasil kerja:
“Ustazah kagum, kamu berjaya menghafal teks cerita lengkap dengan ayat-ayat Al-Quran, nasyid, pantun, syair dan sajak…”
“Ustazah suka cara kamu bercerita…”
“Ustazah juga suka kamu mengalunkan nada dan intonasi pantun, nasyid, sajak dan syair mengikut iramanya.”


3. Dalam pujian itu nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji.

Perkataan 'impak' (impact) bermakna kesan yang terhasil daripada perbuatan yang dilakukan. Sebagai contoh, tulisan pelajar yang kemas menghasilkan impak karangannya dapat mudah dibaca oleh guru.

Contoh :
pujian yang tidak menyebut impak:
"Kamu sekarang sudah pandai membaca dengan lancar." (SALAH)
"Bacaan kamu sungguh bagus." (SALAH)

Pujian yang menyebut impak:
“Ustazah kagum, kamu berjaya menghafal teks cerita lengkap dengan ayat-ayat Al-Quran, nasyid, pantun, syair dan sajak. Kita mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi pertandingan esok" – impak 1. (BETUL).

Oleh yang demikian, sebagai seorang guru yang profesional, kita seharusnya mengikuti dan meneladani contoh ikutan dan teladan yang dianjurkan oleh idola kita Nabi Muhammad s.a.w. Wallahua'alam. Mohon penambahbaikan.

Date 17/10/2013
By Amirah Tarmizi
Subject Teknik Memberi Peluang Semua Murid Angkat Tangan

Assalamualaikum...

"Abu Hurairah r.a menyatakan bahawa pada suatu hari Nabi Muhammad saw bertanya:
"Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?" Abu Bakar r.a menjawab, "Saya".
Baginda bertanya lagi, "Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?"
Abu Bakar r.a menjawab, "Saya"
Baginda bertanya lagi, "Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi makan orang miskin?"
Abu Bakar r.a menjawab,"Saya"
Baginda bertanya lagi, "Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?”
Abu Bakar r.a menjawab, “Saya". Lalu Nabi Muhammad saw berkata, "Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga."

Berdasarkan hadith di atas, terdapat beberapa perkara yang diajarkan oleh rasulullah:

1) Rasulullah menggunakan banyak soalan mudah supaya semua orang dapat mengangkat tangan. Hal ini dapat meningkatkan penglibatan dan self esteem murid

2) Rasulullah tidak menyebut "Abu Bakar sudah tentu akan masuk syurga" sebaliknya baginda menyebut "Seseorang yang melakukan perkara tersebut pasti masuk syurga". Seseorang bermaksud sesiapa sahaja. Oleh itu, guru-guru perlu berusaha meyakinkan pelajar bahawa semua pelajar mampu menjawab soalan yang diajukan dan tidak membezakan pelajar yang pintar dan lemah.

sumber: https://ustazahsitikhadijah.blogspot.com/2012/04/mengawal-dua-kelas-dengan-teknik-nabi.html

 

© 2014 All rights reserved.

Make a free websiteWebnode